Pakej perkhidmatan dan program kebajikan yang dirangka untuk anggota bomba perlu mengambil kira keadaan mereka pada usia persaraan dan bukan hanya semasa sedang berkhidmat, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah usaha merangka pakej yang turut menitikberatkan keadaan ketika persaraan adalah setimpal dengan tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko yang dihadapi anggota bomba.

Selain itu, bersempena dengan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia hari ini, Sultan Nazrin bertitah agar prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan kepada anggota bomba dinilai semula bagi meminimumkan risiko ketika menjalankan tugas.

“Program latihan dan tatacara operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia perlu direkayasa dalam usaha meningkatkan tahap profesional anggota selain mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa.

“Kesedaran negara dan masyarakat akan pengorbanan anggota bomba juga perlu ditingkatkan supaya memberikan apresiasi lebih tinggi kepada anggota semasa dalam perkhidmatan dan setelah bersara,” titah baginda ketika merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh di sini.

Sambutan bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamat Negara’ secara keseluruhan melibatkan 27 kontinjen, 90 unit kenderaan dengan penglibatan 2,100 peserta.

Sultan Perak bertitah usaha menghargai dan menghormati perkhidmatan anggota bomba tidak memadai sekadar menganugerahkan medal, sijil dan cenderamata atau ucapan serta surat pujian.

“Sambutan sesuatu hari peringatan wajib diisi dengan roh dan makna yang berupaya mengetuk hati dan menyentuh sanubari, memberikan peringatan dan membangkitkan kesedaran masyarakat agar maksud dan tujuan benar-benar difahami serta dihayati oleh negara dan masyarakat.

“Kalau sekadar berbentuk upacara, berbentuk ritual, terlalu luaran sifatnya, malah boleh tercicir daripada matlamat asal sambutan dan ia hanya membazirkan sumber kerana gagal membuahkan hasil yang dihasratkan,” titah baginda.

Selain itu, baginda bertitah sambutan akan lebih bermakna jika dilengkapi dengan program-program yang memberikan impak dan berupaya membawa perubahan-perubahan substantif kepada perkhidmatan bagi manfaat jangka panjang kepada para anggota.

Sultan Nazrin bertitah ketika melaksanakan tugas, anggota bomba telah menunjukkan sifat pengorbanan, sifat keinsanan dan sifat kemanusiaan yang tinggi dan melaksanakan tanggungjawab tanpa mengenal waktu serta lelah.

“Berpanas, berkeringat, berembun, berhujan, meredah air, mengharung lumpur, mendaki bukit, memanjat bangunan, menghadapi bahaya, menanggung risiko, sedaya mungkin menghulurkan pertolongan kepada mangsa bencana.

Sesungguhnya semangat berkhidmat, semangat pengorbanan para anggota bomba merupakan satu amal makruf melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah dan semoga dilimpahkan ganjaran rahmat,” titah baginda yang turut mengajak hadirin bertafakur selama seminit.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *