Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Pakatan Harapan sebagai sebuah pertubuhan yang sah sebenarnya tidak wujud, sebaliknya hanyalah sebuah “Pakatan Wayang” yang menyaksikan pakatan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan empat parti pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata wujud Pakatan Wayang itu adalah lebih kepada untuk mengelirukan rakyat mengenai niat sebenar mereka apabila beberapa pemimpin pembangkang terdiri anggota parlimen berpakat dengan Dr Mahathir yang bukannya anggota parlimen.

“Pembangkang sekarang merupakan mereka yang sama yang mahukan Dr Mahathir ditukar ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun. “Sekarang mereka ini jugalah yang mahukan Dr Mahathir kembali ke tampuk pemerintahan. Adakah mereka fikir orang ramai akan begitu mudah mempercayai mereka?,” soal Salleh menerusi catatan laman blog beliau, malam tadi.

Menurut Bendahari UMNO itu kini wujud persepsi umum bahawa Dr Mahathir mahu menggunakan pembangkang untuk meletakkan anaknya Datuk Seri Mukhriz kembali ke landasan politik, sementara pembangkang yang diketuai oleh DAP pula mahu Dr Mahathir memberikan mereka undi Melayu.

“Malah, Mukhriz sendiri mengakui adalah menjadi perkara biasa untuk beliau bercita-cita menjadi perdana menteri. “Jadi tidak ada Pakatan Harapan sebenarnya. Ia adalah lebih kepada Pakatan Wayang untuk mengelirukan rakyat tentang niat sebenar mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *