T-Team berjaya melakarkan kemenangan sulung setelah berjaya menyekat kemaraan Kelantan dengan keputusan 4-2 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kejayaan itu juga turut menyaksikan penyerang import kelahiran Brazil, Patrick Dos Santos Cruz berjaya menamatkan kemarau gol selepas mengharungi lima perlawanan  apabila menjaringkan gol kedua T-Team.

Permulaan permainan menyaksikan pasukan Kelantan bermula dengan garang apabila mencemaskan gawang T-Team menerusi dua percubaan merbahaya daripada Indra Putra Mahyuddin (minit 7) dan DramaneTraore (minit 9) tetapi berjaya dinafikan penjaga gol T-Team, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Belum sempat kem tuan rumah mengatur serangan, kapten pasukan Pamoga  Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Mohd Badri Mohd Radzi sekali lagi menguji pintu gol tuan rumah pada minit ke-14, namun rembatannya sedikit tersasar.

 Begitupun kem tuan rumah kembali mengatur gerakkan dan nyaris membuka jaringan pada minit ke-16  apabila Mohd Asrol Ibrahim berjaya melepasi benteng pertahanan Kelantan, bagaimanapun hantarannya gagal dimanfaatkan Makan Konate.

Skuad  The Titans yang semakin bersemangat dengan percubaan itu akhirnya berjaya meraih jaringan pembukaan menerusi sepakan percuma  terus menerjah gawang yang dilakukan dengan kemas Dilshod Sharofetdinov sekaligus menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-19.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila kem Kelantan terus melakukan asakan ke gawang tuan rumah dan usaha benteng pertahanan T-Team untuk menangkis serangan itu akhirnya mengundang padah apabila kem PQPTRW meraih jaringan percuma ekoran kesilapan penjaga gol yang gagal menyelamatkan hantaran Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri sekaligus menyaksikan kedudukan 1-1.

Jaringan penyamaan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat skuad The Titans apabila Patrick Dos Santos Cruz berjaya membawa T-Team kembali di depan pada minit ke-38 selepas bijak memanfaatkan rembatan Makan Konate yang ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat.

Namun kegembiraan itu tidak kekal lama setelah Blazhe Ilioski bertindak cemerlang menyamakan kedudukan dengan menolak masuk bola hantaran Brandan Gan Seng Ling pada minit ke-38.

Babak kedua bersambung pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk kembali di depan apabila Makan Konate berjaya menanduk masuk bola hantaran kemas Ahmad Takhiyuddin Roslan sekaligus menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-47.

Skuad kendalian K Devan yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi beberapa percubaan merbahaya di depan pintu gol tuan rumah bagaimanapun berjaya dikekang benteng pertahanan kental  yang dikawal rapi kapten pasukan, Mohd Hasbullah Awang dan gandingannya, Youssouf  Abdoulaye Maïga.

Tuan rumah yang sesekali mengatur serangan ke kubu pertahanan Kelantan akhirnya berjaya mengukuhkan kedudukan pada minit ke-71 hasil jaringan kedua Dilshod Sharofetdinov yang menanduk masuk sepakan sudut pemain gantian, Shamsul Kamal Mohamad.

Kelantan yang berusaha untuk merapatkan jurang kedudukan di penghujung perlawanan  akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 4-2 setelah  kem kendalian Rahmad Dermawan terus menggenggam tiga mata berharga di halaman sendiri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *