Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Obama Dan Isteri Pilih Menetap Di Washington

Obama Dan Isteri Pilih Menetap Di Washington

Bekas Presiden Barack Obama dan isterinya, Michelle, akhirnya memutuskan untuk menetap di Washington bagi membolehkan anak mereka, Sasha, menamatkan persekolahan.

Pasangan itu membeli rumah mewah bernilai AS$8.1 juta (RM34 juta) di kawasan kejiranan Kalorama di Washington, yang disewa sejak Januari lalu.

Rumah lapan bilik tidur dan sembilan bilik air itu terletak di kawasan kejiranan sama dengan kediaman anak Presiden Donald Trump, Ivanka dan suami, Jared Kushner.

Penduduk lain di Kalorama, termasuk Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dan Pengasas Amazon, Jeff Bezos, yang juga pemilik akhbar The Washington Post.

“Memandangkan pasangan Obama akan berada di Washington sehingga sekurang-kurangnya dua setengah tahun lagi, memang wajar mereka membeli rumah daripada berterusan menyewanya,” kata jurucakap Obama, Kevin Lewis.

Kawasan kejiranan mewah itu sudah sekian lama menjadi pilihan menteri kerajaan, hakim Mahkamah Agung, setiausaha Perbendaharaan serta tokoh berpengaruh kerajaan dan perniagaan.

Pasangan itu banyak menghabiskan masa bercuti sejak meninggalkan Rumah Putih, dengan mengunjungi French Polynesia dan Itali.

Mereka juga menandatangani kontrak dengan Penguin Random House untuk menerbitkan memoir, dilaporkan bernilai lebih AS$60 juta (RM257 juta). – AFP

Leave a Reply

Top