Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang memburu gelaran keenamnya di Terbuka British membuktikan seleranya belum hilang apabila dengan mudah mara ke suku akhir di Hull, semalam (awal pagi tadi waktu Malaysia).

Nicol yang juga pemain nombor dua dunia, mengetepikan pemain Australia, Donna Urquhart 11-4, 11-7, 11-6 di pusingan kedua di Arena Airco.

Menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.allambritishopensquash2016.com, Nicol mempamerkan pukulan hebat terutama di set pertama sehingga pemain Australia itu sukar membalasnya.

Set kedua, bagaimanapun lebih sengit apabila Urquhart bangkit memberikan tekanan tetapi Nicol berjaya menanganinya untuk menang 11-7 sebelum memastikan kemenangan dalam masa 27 minit dengan menamatkan set ketiga 11-6.

“Semua pemain mempamerkan kebangkitan pada setiap pusingan dan ini sesuatu yang menarik kerana pemain harus beraksi lebih baik untuk menang. Saya gembira dengan persembahan saya tadi.

“Saya mula serasi dengan gelanggang dan sedar perlu bermain dengan baik sewaktu perlawanan. Saya gembira dengan kemenangan 3-0.

“Saya tampil di kejohanan ini sebagai underdog dan saya akan memberikan yang terbaik dan lihat sejauh masa saya mampu mara,” kata Nicol seperti dipetik oleh laman web itu.

Di suku akhir, Nicol akan menentang pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy yang menewaskan Joey Chan dari Hong Kong 11-5, 11-5, 11-9.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *