KUALA LUMPUR, Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (NARSCO ) mengumumkan dividen sebanyak lima peratus bagi tahun 2016 berjumlah RM80,160 kepada 64 buah koperasi.

Koperasi tersebut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak hampir RM1.4 juta berbanding 169,164 yang dicatatkan pada tahun 2015.

Pengerusi NARSCO, Datuk Zamri Yaakob berkata, prestasi kewangan yang meningkat merupakan hasil kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membantu koperasi pekebun kecil dalam aktiviti pemasaran, pembangunan ladang dan pengangkutan.

“Pendapatan NARSCO turut disumbangkan oleh hasil pelaburan koperasi dalam beberapa buah anak syarikat RISDA dan peningkatan yang ditunjukkan adalah memberangsangkan daripada 169,164 pada tahun 2015 kepada hampir RM1.4 pada tahun 2016.

“Berikutan peningkatan itu, saya yakin kita boleh mencapai keuntungan yang lebih tinggi pada tahun ini dengan menyasarkan sebanyak RM2 juta hasil daripada beberapa usaha tambahan yang akan kita jalankan kelak,” katanya pada majlis perasmian Seminar Koperasi Pekebun Kecil 2017 dan Mensyuarat Agung NARSCO kali ke-33 di ibu pejabat RISDA di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Dalam pada itu, pada majlis tersebut, RISDA turut memberi sumbangan bernilai RM300,000 berupa tiga buah lori kepada NARSCO.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *