Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MyPPP Mahu Lima Kerusi Pada PRU14 – Kayveas

MyPPP Mahu Lima Kerusi Pada PRU14 – Kayveas

Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) mengintai satu kerusi parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum akan datang, kata presidennya, Tan Sri M. Kayveas.

Kavyeas berkata MyPPP telah pun mengenal pasti kerusi yang ingin ditandinginya, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tentang kawasan pilihan raya bagi parti itu menurunkan calonnya.

“Dalam pilihan raya umum lepas, kami (MyPPP) sudah pun bertanding satu kerusi parlimen dan empat kerusi DUN,” katanya kepada pemberita di luar Festival Ponggal Wilayah Persekutuan 2017, di sini pada Rabu.

“Kami telah pun mengenal pasti kerusi berkenaan dan amat positif akan menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional kali ini.”

Kavyeas berkata anggota parti itu kini mula turun padang dan memperkenalkan diri mereka kepada bakal pengundi.

Dalam pilihan raya umum ke-13 pada 2013, MyPPP kalah kerusi Parlimen Kepong selain kerusi DUN Kota Laksamana (Melaka), Pasir Bedamar (Perak), Kota Alam Shah (Selangor) dan Guchil (Kelantan).

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan PRU14 diadakan tahun ini, Kayveas berkata kira-kira 3,900 cawangan MyPPP akan menyelesaikan mesyuarat mereka menjelang akhir bulan ini.

“Kami tidak menumpukan kepada pilihan raya ketika meminta cawangan mengadakan mesyuarat mereka.

“Kami mahu mereka menyudahkan mesyuarat masing-masing secepat mungkin bagi membolehkan 122 bahagian mengadakan mesyuarat menjelang April,” katanya, dan menambah, mesyuarat peringkat negeri dan kebangsaan dijangka selesai antara Jun dan Ogos tahun ini.

Terdahulu, Kayveas menyertai upacara memasak nasi manis Ponggal bersempena Festival Ponggal itu yang berlangsung di Jalan Bunus, Masjid India, di sini.

Leave a Reply

Top