Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melafazkan ikrar bebas rasuah sebagai menggalas tanggungjawabnya bagi memastikan integriti dan tadbir urus yang baik dalam organisasi kereta api.

Lafaz ikrar itu yang dibuat baru-baru ini, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Shahril berkata, sebagai syarikat kereta api milik kerajaan yang pertama membuat ikrar bebas rasuah, MRT Corp perlu memastikan usaha itu bukan sekadar sandiwara.

“Apa yang penting tentang ikrar, yang  diambil secara kolektif oleh Ahli Lembaga, barisan kepimpinan dan warga kerja MRT Corp, ikrar ini memperkukuhkan pendirian bebas-rasuah yang sering diamalkan di MRT Corp,” katanya.

Beliau berkata, MRT Corp sudah diiktiraf atas usahanya dalam memastikan integriti dan tadbir urus yang baik sebagai pemilik dan pemaju Projek MRT Lembah Klang dan ini memberi tanggungjawab besar untuk mengekalkan piawaian itu.

Shahril turut mengimbas kembali kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai proses perolehan yang digunakan bagi Projek MRT, kini digunakan semula bagi projek mega kerajaan lain.

“Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, satu galakan besar untuk MRT Corp. Ia mengesahkan bahawa apa yang kami buat selama ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

“Kami bangga MRT Corp berjaya menetapkan penanda aras dalam proses perolehan untuk projek kerajaan yang berbilion ringgit,” katanya.

Shahril berkata, komitmen MRT Corp dalam memastikan ketelusan bermula sejak dari awal peringkat kewujudan syarikat itu lagi.

Beliau berkata budaya itu diamalkan bukan saja untuk ‘perkara besar’ seperti proses perolehan, tetapi juga untuk langkah-langkah kecil seperti mencetak penyata kewangan.

“MRT Corp bukan sebuah syarikat yang tersenarai awam tetapi kami tidak pernah gagal untuk menghasilkan Laporan Kemajuan Tahunan yang memberikan laporan mengenai kemajuan projek dan keadaan kewangan.

“MRT Corp percaya bahawa ia mempunyai tugas kepada rakyat, untuk menjadi telus dan bertanggungjawab kepada mereka kerana sudah diamanahkan dengan wang pembayar cukai untuk membangunkan Projek MRT Lembah Klang,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *