RANAU, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) keempat di Sabah akan dibina di daerah ini tahun depan, dan dijangka siap pada 2021.

MRSM Ranau akan dibina di kawasan seluas 26,000 meter persegi bermula pada suku kedua 2018 dengan dilengkapi blok akademik, makmal sains, asrama, dewan serbaguna, kemudahan sukan serta mampu menampung 450 pelajar pada satu-satu masa.

Projek inisiatif bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab korporat Petronas untuk pembangunan modal insan di Sabah menerusi sektor pendidikan.

Pelancaran projek MRSM Ranau itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata Petronas memberikan banyak sumbangan untuk rakyat dan negeri ini termasuk pembangunan industri carigali minyak laut dalam, projek Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) di Kimanis,projek Sabah Ammonia-Urea (SAMUR) di Sipitang yang meletakkan Sabah sebagai antara lokasi pelaburan utama industri minyak dan gas negara.

“Selain memantapkan ekonomi dan menyuntik pelaburan terutamanya berkaitan industri minyak dan gas, Petronas turut bersama-sama membantu masyarakat dalam pelbagai aspek, terutamanya berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan, kesejahteraan masyarakat serta pemulihan alam sekitar,” kata Musa.

Justeru itu, Musa meminta anak-anak Sabah supaya beriltizam tinggi dan bersungguh-sungguh memanfaatkan semua peluang dan kemudahan yang disediakan Petronas dalam bidang berkaitan demi diri sendiri serta Sabah dan negara secara amnya.

Beliau berkata pembangunan sektor pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan menyediakan peruntukan untuk tujuan itu selain menghargai sumbangan dan keprihatinan Petronas bagi melengkapkan usaha kerajaan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Petronas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata pendidikan merupakan kaedah paling penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah dalam menyediakan peluang pendidikan dan pembangunanan modal insan untuk rakyat negeri ini.

“Kami benar-benar percaya bahawa mengupayakan individu melalui pendidikan berkualiti, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai adalah paling utama dalam pembangunan modal insan yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Sabah tetapi Malaysia amnya,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *