Jose Mourinho mendedahkan bahawa dia telah menolak tawaran lumayan untuk menjadi jurulatih di China.

Pengurus Manchester United berusia 54 tahun itu bagaimanapun tidak menyatakan kelab yang mendekatinya, atau masa tawaran itu dibuat, tetapi menegaskan bahawa dia tidak akan mengkritik sesiapa pun yang berhijrah ke Liga Super China.

Minggu lepas, Mourinho menimbulkan keraguan mengenai masa depan Wayne Rooney di Old Trafford dengan berkata ‘wang adalah sesuatu yang besar, pengalaman juga boleh jadi sesuatu yang menarik’ berhubung laporan perpindahan Rooney ke China.

Mourinho, yang membimbing United sejak musim panas lalu mengesahkan dirinya juga pernah didekati oleh China. Bulan lalu, Mourinho berkata dia ‘terlalu muda’ untuk menjadi pengurus di China.

“Saya telah menolak tawaran besar untuk pergi ke China, tetapi saya tidak mengkritik sesiapa yang memutuskan untuk berbuat demikian,” kata Mourinho kepada majalah GQ.

“Ia adalah pilihan mereka, kehidupan mereka. Hanya mereka yang boleh putuskan apa yang mereka perlu untuk masa depan mereka. Pengurus lain dalam Liga Perdana Inggeris begitu kritikal, tetapi saya tiada kritik.”

Mourinho adalah nama besar yang terbaru yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China.

Luiz Felipe Scolari dan Sven Goran-Eriksson adalah pengurus yang telah bersetuju menerima upah besar yang ditawarkan manakala penyerang Carlos Tévez baru-baru ini menyertai Shanghai Shenhua, dilaporkan dengan bayaran £615,000 seminggu.

Mourinho juga menjelaskan bahawa pemain yang memilih untuk berpindah ke Liga Super China untuk mendapatkan lebih banyak wang mungkin tidak berbaloi dikekalkan, sambil mendedahkan bahawa dirinya tidak pernah tergoda oleh prospek tersebut.

“Tetapi akhirnya pemain yang mahu pergi adalah pemain yang mungkin anda tidak mahu kekalkan. Bayangkan pemain yang baru berusia 24 atau 25, dan dia mahu pergi? Pada usia 24 atau 25? OK, selamat tinggal, semoga gembira,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *