Anda di sini!
Utama > Sukan > Mourinho Bengang Pemain Cedera Selepas Aksi Antarabangsa

Mourinho Bengang Pemain Cedera Selepas Aksi Antarabangsa

Pengendali Manchester United, Jose Mourinho berkata dia “menentang penuh” perlawanan persahabatan antarabangsa, susulan kecederaan dua tonggak pertahanannya, Chris Smalling dan Phil Jones ketika menyarung jersi England.

Mourinho dijangka kehilangan lima pemain utama apabila bertemu West Bromwich Albion dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu ini, termasuk Paul Pogba yang cedera serta penggantungan Zlatan Ibrahimovic.

“Saya menentang penuh perlawanan persahabatan antarabangsa,” kata Mourinho kepada Sky Sports selepas Jones mengalami kecederaan tapak kaki ketika menjalani sesi latihan bersama England selepas bertembung dengan Smalling.

Kedua-dua pemain terlepas aksi kelayakan Piala Dunia 2018 England dengan Lithuania yang mencetus persoalan buat Mourinho mengenai keperluan perlawanan persahabatan ketika aksi liga sedang berjalan.

“Saya fikir perlawanan persahabatan untuk pasukan kebangsaan hanya masuk akal sebelum fasa terakhir,” kata pengurus kelahiran Portugal itu.

“Beberapa minggu sebelum Euro atau beberapa minggu sebelum Piala Dunia lebih masuk akal. Namun ketika pertengahan musim, ditambah dengan perlawanan persahabatan dan perlawanan kelayakan, saya fikir ia tidak masuk akal.

“Paling penting ialah perlawanan-perlawanan itu bukan perlawanan yang besar, jadi saya tidak menggemarinya. Namun saya fikir satu hari nanti saya akan berada di sana, jadi saya tidak boleh terlalu mengkritik.

” Mourinho yang terpaksa melepaskan 13 pemain terhadap skuad kebangsaan juga percaya pasukannya tidak memiliki kelebihan apabila kempen EPL kembali bersambung.

“Jika kamu membandingkan situasi kami dengan lawan kami, West Brom hanya ada seorang pemain ke aksi antarabangsa,” kata Mourinho.

“Mereka mempunyai masa untuk bekerja, masa untuk berehat dan bersedia.”

Leave a Reply

Top