Anda di sini!
Utama > Belia > MOSTI Peruntuk RM 30 Juta Bangunkan Produk Inovasi Komuniti

MOSTI Peruntuk RM 30 Juta Bangunkan Produk Inovasi Komuniti

mh online

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan Dana Malaysia Social Innovation berjumlah kira-kira RM30 juta bagi membangunkan produk inovasi yang mempunyai elemen kreativiti yang dihasilkan masyarakat komuniti di sesuatu kawasan.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata dana yang memperuntukan maksimum RM500,000 bagi sesebuah produk inovasi berkenaan bertujuan memberi manfaat dalam masyarakat komuniti atau persatuan setempat.

Beliau berkata melalui dana berkenaan, pencipta atau penghasil produk perlu bekerjasama dengan salah satu agensi di bawah MOSTI bagi penghasilkan produk mereka.

“Dana ini sama seperti ‘buy back policy’ yang telah dilaksanakan MOSTI dalam usaha memastikan produk pengkomersilan yang dihasilkan dapat dijual kepada masyarakat, kementerian atau jabatan kerajaan dalam usaha menyokong penghasilan produk berkenaan.

“MOSTI mempunyai banyak agensi dan syarikat milik kerajaan yang dapat membantu pencipta atau penyelidik menghasilkan produk mereka secara lebih inovasi dan berdaya saing untuk diketengahkan dan dikomersilkan,” katanya selepas merasmikan program ‘Sepakat Komuniti 1Malaysia’ di sini malam tadi.

Abu Bakar berkata usaha berkenaan selaras dengan pendekatan MOSTI untuk mempertingkat penghasilan lebih banyak produk inovasi untuk dikomersilkan secara lebih meluas bermula di peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan lain, katanya program ‘Sepakat Komuniti 1Malaysia’ perlu diberi hebahan yang lebih meluas terutama dalam aspek publisiti bagi menarik penyertaan lebih ramai rakyat pelbagai kaum untuk menyertai aktiviti yang disediakan.

“Program seumpama ini adalah untuk mengumpul pelbagai kaum bersama-sama menghayati kebersamaan sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan mampu hidup dalam keharmonian,” katanya.

Beliau berkata antara usaha yang perlu diperbaiki ialah memperbanyakkan poster berkaitan program tersebut dan hebahan boleh dilakukan melalui platform politik kerana ia dilihat lebih berkesan berbanding melalui pemimpin setempat termasuk ketua kampung.

Leave a Reply

Top