KUALA LUMPUR, Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Mohamad Shukor Ariffin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Big Tree Outdoor Sdn Bhd (BTO), berkuat kuasa 16 November lalu.

Mohamad Shukor, 46, akan bertanggungjawab mengawasi operasi keseluruhan BTO, iaitu syarikat Pengiklanan Luar Rumah (OOH) terbesar di negara ini.

Beliau juga akan memberi tumpuan pada pengukuhan perniagaan teras syarikat di samping mengejar peluang baharu sejajar dengan strategi pertumbuhan jangka panjang Media Prima.

Sebelum ini, Mohamad Shukor adalah Ketua Pegawai Operasi BTO dan mula menyertai syarikat itu, pada April 2003 sebagai Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan Perniagaan.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan dan Perancangan Korporat, pada September 2009 dan kemudiannya sebagai Pengurus Besar Operasi, pada Oktober 2011.

Sebelum ini, beliau pernah bekerja di PLUS Berhad, Medas Corporation Berhad dan Azlan & Associates Consulting.

Muhamad Shukor adalah graduan Universiti Bradford, United Kingdom dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekonomi.

Melalui kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi BTO, Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin, berkata beliau berpuas hati dengan pelantikan Muhamad Shukor dan percaya ia akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan BTO sebagai peneraju perkhidmatan OOH yang terkemuka di negara ini.

“Kami percaya beliau akan meneruskan usaha agresif bukan saja untuk mengekalkan dominasi BTO di Malaysia, tetapi juga untuk memasuki pasaran baharu di luar negara.

“Pelantikan ini mencerminkan pelan penggantian yang kukuh dalam mengupayakan penyerahan tanggungjawab dan operasi yang lancar bagi memastikan pelanggan kami terus menerima perkhidmatan cemerlang daripada BTO,” katanya.

Mengulas kenyataan itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, berkata Muhamad Shukor dihormati dalam bidang itu dan pilihan utama Media Prima untuk menjawat jawatan itu berbekalkan pengalaman bertahun-tahun bersama syarikat itu.

Katanya, Muhamad Shukor mempunyai pengetahuan mendalam mengenai aspek operasi dan komersil perniagaan OOH.

“Saya yakin beliau akan menyumbang terhadap kejayaan Media Prima, selain memainkan peranan penting dalam mendapatkan konsesi pengiklanan untuk rangkaian Aliran Transit Massa (MRT) dan sambungan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Ini akan disusuli pula dengan pelaksanaan aset pengiklanan utama di

sepanjang rangkaian-rangkaian tersebut yang akan menjadi penyumbang utama pendapatan BTO pada masa depan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *