Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini, bagi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib hari ini.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

Mohamad Fuzi, 58, menyertai pasukan beruniform itu pada 8 Jan 1984 sebagai kadet ASP di Pulapol.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah Inteligen Politik E4 Cawangan Khas Bukit Aman, Penolong Pengarah Cawangan Khas (Bahagian Politik dan Risikan) yang memangku pangkat SAC I pada 2006 dan Pengarah Cawangan Khas pada Julai 2015.

Beliau juga pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara selama dua bulan pada 2014.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamad Fuzi berkata beliau akan kekal fokus kepada usaha memerangi pengganas.

Malah katanya kerajaan telah meluluskan 343 perjawatan baharu untuk Bahagian Anti Pengganas Bukit Aman yang pastinya akan terus memperkukuh kemampuan bahagian itu.

“Saya yakin masalah pengganas akan dibanteras sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya.

Mohamad Fuzi turut berterima kasih atas kepercayaan kerajaan yang melantik beliau ke jawatan tertinggi pasukan keselamatan itu.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri dengan pelantikan jawatan ini.

“Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Khalid kerana banyak memberi tunjuk ajar dalam urusan tugas polis,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *