Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Model Perpaduan Masyarakat Sarawak Perlu Dikekalkan

Model Perpaduan Masyarakat Sarawak Perlu Dikekalkan

Masyarakat Sarawak perlu menolak elemen yang boleh memecah-belahkan perpaduan yang wujud sekian lama sesama mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata Sarawak merupakan model perpaduan dan keharmonian terbaik yang ditunjukkan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa serta etniknya yang mempunyai keunikan tersendiri.

“Elemen inilah yang perlu dikekalkan oleh masyarakat Sarawak dengan menolak anasir melampau yang boleh menggugat perpaduan masyarakat,” kata Rohani yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar.

Beliau berucap merasmikan Program ‘Strive 4 Unity’ anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Stadium Mini Sri Aman. Turut hadir calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Simoi Peri.

Rohani turut merasmikan Program Bersamamu Masyarakat di Dewan Kampung Melayu Stumbin dan Program Pemimpin bersama Rakyat di Rumah Panjang Raweng di sini.

Dalam ucapannya, menteri itu menekankan bahawa perpaduan perlu bermula dari rumah dan seterusnya diterap kepada anak-anak, di sekolah, jiran tetangga dan masyarakat setempat serta sesama kaum dalam komuniti berbilang bangsa dan agama.

Beliau memuji inisiatif Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang memberi fokus kepada soal perpaduan dan keharmonian dalam prinsip dan tindakannya selaku ketua menteri, selain menggariskan perkara sama dalam Manifesto Barisan Nasional bagi pilihan raya Sarawak, 7 Mei ini.

Leave a Reply

Top