Bekas Naib Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa yang dipecat dua minggu lalu, dijangka akan kembali semula ke negara itu dalam waktu terdekat, kata Ketua Angkatan Tentera, Constantino Chiwenga lapor agensi berita China Xinhua.

Chiwenga berkata, demikian pada satu sidang akhbar, susulan perbincangan antara Presiden Robert Mugabe dengan Mnangagwa.

“Selepas itu, rakyat akan dimaklumkan mengenai hasil perbincangan antara kedua-dua pihak,” kata Chiwenga.

Beliau berkata pada masa sama, Mugabe, yang dipecat sebagai pemimpin parti ZANU-PF pada Ahad, memulakan proses ke arah penyelesaian muktamad dan hala tuju negara.

“Berikutan keadaan itu, kami sebagai Angkatan Tentera Zimbabwe (ZDF) dan perkhidmatan keselamatan negara, mendesak warga Zimbabwe untuk bertenang dan bersabar, mematuhi serta menghormati sepenuhnya undang-undang negara,” kata Chiwenga.

Operasi tentera ZDF dikenali “Operation Restore Legacy”, juga dihentikan, katanya.

“Kami yakin dapat mengembalikan negara tercinta kepada sediakala dan menetapkan sasaran pembangunan yang diingini,” katanya.

Chiwenga turut menggesa masyarakat Zimbabwe, untuk mengelakkan sebarang tindakan atau aktiviti yang mengancam keamanan, kehidupan dan harta benda, selain meminta penuntut universiti bertenang dan meneruskan pengajian mereka seperti dijadualkan.

ZDF mengeluarkan kenyataan tersebut selepas parti pemerintah ZANU-PF pada Ahad memecat Mugabe sebagai pemimpin parti dan menggantikannya dengan Mnangagwa.

Parti itu juga, memutuskan untuk meneruskan gerakan pemecatan Mugabe di Parlimen pada Selasa, hari yang sama beliau akan mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Susulan rampasan kuasa tentera Rabu lalu, Zimbabwe dibelenggu kegawatan politik memandangkan rakyat dan parti politik bersatu, mendesak Mugabe meletakkan jawatan.

Sebaliknya, Mugabe dalam ucapannya di televisyen pada Ahad berkata, beliau akan mempengerusikan kongres parti bulan depan untuk menangani segala permasalahan yang wujud.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *