Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MIFA Mahu Lebih Ramai Belia India Sertai Program Bola Sepak “Beyond Footbal”

MIFA Mahu Lebih Ramai Belia India Sertai Program Bola Sepak “Beyond Footbal”

mh online

Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) menggalakkan lebih banyak belia India di negara ini untuk menyertai program ‘Beyond Football’ bagi menghindarkan mereka daripada terjerumus dalam gejala sosial.

Timbalan Presidennya, J. Dhinagaran berkata program tersebut bertujuan membangunkan golongan muda berusia antara 12 hingga 20 tahun untuk menjadi pemain bola sepak berbakat, jurulatih dan pengadil.

Beliau berkata program tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 1,300 belia India mendaftar di 36 pusat di seluruh negara sejak ia dibuka untuk pendaftaran bulan lepas.

“Kami sudah pun menganjurkan dua kursus sebelum ini untuk jurulatih dan pengadil dengan menggunakan modul sendiri dan juga merekut 40 belia di setiap pusat berkenaan.

“Menerusi program ini, kami harap belia India mampu mengelak daripada terbabit dalam aktiviti sosial yang negatif,” katanya tanpa mendedahkan kos untuk program tersebut.

Dhinagaran berkata demikian kepada Bernama selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MIFA dan 31 Penyelaras Lokasi Pusat Latihan MIFA di sini pada Ahad.

Majlis itu turut disaksikan oleh oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S. K. Devamany.

Beliau juga berkata MIFA dengan kerjasama Yayasan Sukan dan Kebudayaan India Malaysia (MISCF) akan menganjurkan edisi ketiga temasya Sukan India Malaysia di Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Menurutnya, temasya sukan itu akan mempertandingkan acara sukan seperti silambam, bola sepak, hoki, tenis, skuasy dan karate.

Beliau berkata temasya sukan itu mengikut modul Sukan Malaysia (Sukma) antara lain bertujuan memupuk budaya bersukan dalam kalangan komuniti India di negara ini.

“Kami menjangka lebih 1,500 belia India mengambil bahagian pada temasya sukan tahun ini selepas ia berjaya dianjurkan di Kedah pada 2014 dan di Johor tahun lepas,” katanya.

Leave a Reply

Top