Anda di sini!
Utama > Terkini > MESYUARAT PERTAMA PAC SELEPAS PELANTIKAN ANGGOTA BARU

MESYUARAT PERTAMA PAC SELEPAS PELANTIKAN ANGGOTA BARU

mh online

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini selepas pelantikan enam anggota baharu termasuk pengerusinya.

Mesyuarat yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Parlimen dipengerusikan oleh pengerusinya yang baharu iaitu Anggota Parlimen Rompin, Datuk Hasan Ariffin, yang dilantik memegang jawatan itu berkuatkuasa 19 Okt lepas.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri susulan rombakan Kabinet pada Julai.

Selain Hasan, anggota PAC yang baharu dilantik ialah Anggota Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh dari BN dan Anggota Parlimen Kota Baharu, Datuk Takiyuddin Hassan dari PAS.

Turut dilantik Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) dan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) yang masing-masing menggantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar) dan Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan).

PAC kini mempunyai 14 anggota termasuk masih mengekalkan keanggotaan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) walaupun banyak kritikan dan desakan supaya beliau digugurkan daripada PAC susulan kenyataannya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain didakwa mendedahkan dokumen siasatan PAC mengenai syarikat itu.

Bagaimanapun, Hasan ketika ditemui media di lobi Parlimen sebelum mesyuarat bermula, enggan mendedahkan perkara yang bakal dibincangkan pada mesyuarat pagi ini.

Akhbar hari ini melaporkan PAC akan menyatakan pendiriannya berhubung debat antara Tony Pua dan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda berhubung syarikat itu.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top