KUALA LUMPUR, Mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan di Geneva, bakal membincangkan isu berkaitan Rohingya, amat bertepatan dan wajar menjadi platform penentu untuk meletakkan tekanan ke atas kerajaan Myanmar, kata bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar.

Banyak permintaan telah disuarakan masyarakat antarabangsa bagi menangani pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di negara Rakhine, katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Rohingya Integrated School of Excellence (RISE).

Syed Hamid yang mengulas mengenai maklumat dikumpulkan pelapor khas PBB Yanghee Lee mengenai situasi di Rohingya berkata, perlu untuk membenarkan penubuhan suruhanjaya siasatan bebas bagi mendedahkan keadaan sebenar menimpa masyarakat Islam Rohingya yang digambarkan sebagai kumpulan minoriti paling tertindas di dunia.

“Saya percaya dengan tekanan itu akan ada perkembangan positif untuk Malaysia dan negara yang berjiran dengan Myanmar bagi mencari penyelesaian.

“Masalah itu perlu ditangani. Kita tidak boleh menyorokkannya. Dalam hal ini saya berharap Malaysia akan terus bersuara untuk membantu mereka yang ditimpa masalah,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan apa yang berlaku beberapa bulan lepas menunjukkan masyarakat antarabangsa perlu sentiasa memantau keadaan hak asasi manusia selain sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik seperti di Rakhine, Kachin dan Shan.

Menurut laporan antarabangsa Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia Zeid Ra’ad Al Hussein telah mengerahkan sepasukan pegawai kemanusiaan ke Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar di mana dianggarkan 66,000 Rohingya lari ke negara itu sejak 9 Oktober tahun lepas.

Usaha itu berjaya selepas beberapa kali Pejabat Hak Asasi Manusia PBB gagal mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Myanmar untuk memasuki ke kawasan teruk terjejas di Rakhine.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *