Barcelona mengetepikan segala krisis di luar padang ketika Lionel Messi mencetuskan kebangkitan membalas dendam kepada Juventus dengan kemenangan 3-0, dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Messi terbabit dalam semua tiga gol itu dan berjaya menewaskan Gianluigi Buffon buat pertama kali dalam kariernya ketika membuka tirai jaringan di penghujung aksi babak pertama (minit ke-45).

Ivan Rakitic menambah gol kedua pada minit ke-56 selepas Messi berjaya membuka ruang di barisan pertahanan Juventus, sebelum pemain Argentina ini sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan gol ketiga pada minit ke-69.

Kemenangan dalam aksi pertama musim ini meletakkan Barcelona berada di tangga teratas Kumpulan D, mengatasi Sporting Lisbon yang menang 3-2 ke atas Olympiakos.

Barca memulakan aksi penuh dominasi walaupun ketika ini wujud desakan kuat supaya Presiden, Josep Maria Bartomeu, meletakkan jawatan berikutan isu perpindahan rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG).

Ketika ini, kelab gergasi Catalan ini belum menemui pengganti setaraf pemain Brazil berkenaan.

Bagaimanapun, Ousmane Dembele, berjaya menarik tumpuan ketika membuat penampilan penuh selepas perpindahan bernilai 105 juta euro (RM528.9 juta) dari Borussia Dortmund.

Barca juga membuktikan mereka masih memiliki kemampuan selagi Messi kekal bersama kelab walaupun tanpa kelibat Neymar.

“Kami tahu, apabila dia mendapat bola, apa saja boleh berlaku.

“Banyak kali saya menderita ketika aksi menentang Messi dan kini, saya tahu betapa bertuahnya memiliki pemain ini dalam pasukan,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde selepas perlawanan pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara.

Bos Juve, Massimiliano Allegri, tidak begitu mempedulikan Messi sebaliknya menyalahkan barisan pertahanan kerana membenarkan penerima anugerah Pemain Terbaik Dunia lima kali itu bergerak terlalu bebas di kawasan mereka.

“Kami memberikannya terlalu banyak ruang, kami membuatkan semuanya begitu mudah bagi Messi.

“Kami mesti faham dan akur, apabila beraksi menentang pasukan yang berada dalam Liga Juara-Juara, kami mesti berhati-hati sepanjang masa.

“Jika menentang pasukan lain tanpa Messi, kami mungkin tidak akan melepaskan gol seperti ini,” kata Allegri. – AFP

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *