Anda di sini!
Utama > Hiburan > Mereka Tidak Faham

Mereka Tidak Faham

Masih belum ditayangkan di pawagam namun Pencuri Hati Mr Cinderella yang diarahkan oleh Ahmad Idham mula mendapat kritikan pedas daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan rekaan poster filem itu.

Tidak cepat melatah dengan kecaman tersebut, Ahmad Idham, 45, bagaimanapun optimis dengan pandangan negatif tersebut dan menganggap netizen yang menyelar poster berkenaan tidak faham dengan idea yang cuba disampaikan.

“Saya tidak salahkan mereka yang cuba memberi pandangan pada poster itu kerana segelintir anak muda mungkin tidak faham akan fenomena drama Cinderella pada tahun 1998 dahulu.

“Hakikatnya semasa cadangan pembikinan poster ini memang saya hendak sedikit sentuhan ‘old school’.

“Maklumlah saya pula berlakon dan judul Cinderella ini memang sinonim dengan watak Salman lakonan saya 20 tahun lalu,” katanya.

Diadaptasi daripada drama Cinderella (1998) dan filem Impak Maksima (2007), ia menampilkan barisan pelakon seperti Haliza Misbun, Atikah Suhaime, Datuk Eizlan Yusof, Faye Kusyairi, Hairul Azreen, Cat Farish dan Kuza.

Ia bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 10 Ogos ini.

Dalam pada itu, Idham berkata, dia sebenarnya gembira dengan respon orang ramai terhadap filem ini sehinggakan reka bentuk posternya menjadi pertikaian.

Malah katanya, ramai pihak tampil memberikan cadangan agar pihaknya melakukan penambahbaikkan terhadap poster itu agar kelihatan lebih menarik dan terkini.

“Poster filem Pencuri Hati Mr Cinderella dikecam sejak minggu lalu dan ramai berpendapat ia ketinggalan zaman dan dihasilkan pereka grafik tidak berpengalaman.

“Bagi saya poster hanyalah poster tetapi lebih penting pengisian cerita dalam filem membuktikan aura fenomena kisah cinta akan berlaku melalui respon diterima ketika tayangan perdana tempoh hari,” katanya.

Ini bukan kali pertama filem arahan Idham dilanda kontroversi apabila poster filem Minah Moto turut berhadapan isu sama.

Leave a Reply

Top