Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Meja Bulat Asia Pasifik Fokus Isu Keselamatan Siber

Meja Bulat Asia Pasifik Fokus Isu Keselamatan Siber

Sejak penubuhannya 30 tahun lepas, Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) telah menghadapi cabaran dalam mengisi topik yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat yang sangat dinantikan itu bagi memastikan ia relevan kepada rantau ini dan pada masa yang sama, cuba mengelak daripada mengulangi topik yang sama.

APR secara konsisten mengekalkan pandangan holistik apabila membuat keputusan mengenai topik yang akan dibentangkan dalam mesyuarat termasuk isu keselamatan, aturan perdagangan serantau dan implikasi strategiknya, perubahan iklim, penghijrahan yang tidak teratur dan isu keselamatan manusia, kata Elina Noor, Pengarah Kajian Polisi Luar dan Keselamatan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

“Tahun ini, pada APR ke-31, kami akan melihat semula isu keselamatan siber selepas sesi perdebatan mengenai isu ini dua tahun lepas. Ia isu yang panas dan perkara semasa yang belum begitu difahami di rantau Asia Pasifik.

“Terdapat banyak fokus mengenai jenayah siber tetapi bukan kepada aspek keselamatan siber, tentang bagaimana kerajaan menangani isu itu dengan privasi, keselamatan negara serta bagaimana sektor swasta yang merupakan sebahagian daripada keselamatan sosial, boleh dibawa dalam isu ini,” katanya kepada Media dalam satu temu bual di sini.

Elina berkata isu keselamatan siber telah menjadi sesuatu yang tidak jelas, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di peringkat global yang mana sektor berlainan dalam industri cuba mencari kaedah untuk membuka perbincangan mengenai keselamatan siber tanpa menceroboh kawasan keselamatan negara.

Beliau berkata walaupun pegawai kerajaan kurang bersedia membincangkan mengenai pengintipan dan pengawasan, terdapat laporan sumber terbuka oleh syarikat keselamatan siber swasta mendedahkan bahawa negara seperti Malaysia dan negara jiran di rantau ini selama ini sering kali disasarkan untuk maklumat tertentu.

Terdapat kes-kes seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) — pertikaian penyulitan Apple, ransomware ‘Wannacry’ baru-baru ini serta insiden yang mana kerajaan berusaha mendapatkan maklumat peribadi tetapi syarikat keselamatan siber swasta tidak memberikan apa-apa maklumat, katanya.

“Ada juga kes yang mana kerajaan dan Agensi Keselamatan Negara (NSA) didakwa mengeluarkan beberapa malware untuk mendapat akses kepada maklumat yang diperlukan. Dalam senario ini, bagaimana sektor keselamatan siber swasta berhadapan dengan masalah ini apabila malware dieksploitasi oleh kerajaan.

“Oleh itu, APR tahun ini akan memberi tumpuan kepada ketegangan antara sektor swasta dan kerajaan, diharapkan dapat membantu mereka menanganinya. Ia satu perkara apabila kerajaan berusaha mendapatkan maklumat daripada syarikat keselamatan siber swasta tetapi apa yang akan syarikat ini lakukan apabila kerajaan cuba untuk mengeksploitasi malware atas alasan ‘keselamatan negara’?,” katanya.

Forum yang akan berlangsung 22 hingga 24 Mei ini, anjuran ISIS dan disokong oleh ASEAN-ISIS, dijangka mengumpul kira-kira 300 peserta, antaranya pegawai kerajaan, pembuat dasar, sektor swasta dan korporat serta ahli akademik.

Beralih kepada isu lain berkaitan rantau Asia Pasifik, Elina turut menyentuh mengenai pasca Brexit dan ‘kematian’ Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan apa maknanya kepada perniagaan, daripada syarikat besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini.

Beliau berkata walaupun model Kesatuan Eropah (EU) boleh dijadikan panduan untuk rantau ini, ia tidak semestinya dalam kepentingan terbaik bagi meniru model yang tepat dari EU, sambil menyatakan bahawa aspirasi rantau Asia Pasifik, khususnya ASEAN, sentiasa berbeza daripada EU.

“Kita sangat jelas bahawa kita tidak mahu menjadi sama seperti EU. Jadi, kini ASEAN mencapai ulang tahun ke-50 tahun ini, ahli panel mungkin berhasrat membincangkan mengenai bagaimana kita ingin membezakan diri kita daripada EU, tetapi pada masa sama, menyedari beberapa cabaran yang dihadapi EU akan dialami oleh kita di masa depan,” katanya.

Elina berkata isu PKS yang terjejas teruk dengan ‘kematian’ TPP mungkin dibangkitkan dalam perbincangan aturan strategik pada mesyuarat itu tetapi bukan sebagai fokus tertentu.

Beliau berkata walaupun penangguhan TPP mungkin memberi kesan kepada PKS, rantau ini masih berhadapan dengan banyak ketidakpastian dan melahirkan harapan bahawa pada sesi keserantauan ekonomi, APR akan mencari jalan baharu untuk bergerak ke hadapan supaya PKS, sektor yang sangat penting untuk rantau ASEAN, turut mendapat manfaat.

Memandangkan TPP penuh kontroversi dan hilang dalam bentuk asalnya, Elina menimbulkan persoalan sama ada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dapat membawa haluan walaupun ia merupakan dua set aturan berbeza.

Beliau berkata jika ASEAN sepatutnya berpaksikan manusia dan perlu melibatkan rakyat, terutamanya jika seseorang itu pemilik sesuatu PKS, diharapkan RCEP dapat membuat perubahan dalam hidup mereka.

Dilihat sebagai alternatif kepada TPP, RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN dan enam negara anggota FTA iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Rundingan itu dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja pada November 2012 dan perjanjian itu dijadualkan dimuktamadkan pada akhir tahun 2017.

“Jadi, ini adalah antara isu-isu besar dalam keserantauan ekonomi yang akan dibincangkan. Dengan ‘kematian’ TPP, diharapkan APR akan memimpin rantau ini dan semangatnya kepada satu lagi bentuk kerjasama ekonomi kerana semangat dalam kalangan negara anggota di rantau ini masih lagi tinggi,” katanya.

Selepas lima tahun dan 19 pusingan rundingan, Perjanjian TPP gagal mencari haluan selepas Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada 23 Januari lepas untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

Perjanjian itu dianggap paling komprehensif dalam sejarah. Selepas ia dilihat tidak menentu, ramai yang mempersoalkan implikasinya kepada negara anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Leave a Reply

Top