Share on Facebook

KUALA TERENGGANU, Hubungan baik antara kerajaan negeri dan media terus dibina dan dipelihara agar hubungan yang baik dan saling menghormati itu akan memudahkan penyaluran maklumat yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata media mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam masyarakat pada hari ini, oleh itu, setiap berita atau laporan yang disampaikan perlu sahih dan benar akan faktanya.

“Melalui media juga, pemikiran sesebuah masyarakat itu mampu diubah. Malah yang paling membimbangkan, ianya mampu menjatuhkan dan membangunkan sesebuah negara. Bak kata pepatah, ‘mata pena lebih tajam dari mata pedang’.

“Hakikatnya pada hari ini, tiada siapa boleh menafikan peranan media dalam menentukan pembangunan dan pemodenan negeri malahan negara kerana media adalah elemen penting dalam mencorakkan kehidupan dan membentuk masyarakat. Namun kini, ianya sudah menjangkau ke tahap yang lebih tinggi iaitu media alaf baharu seperti media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis makan malam penghargaan dan anugerah media Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong.

Lebih 100 pengamal media termasuk blogger hadir ke majlis makan malam itu yang bertujuan menghargai sumbangan media terhadap kerajaan negeri khususnya EPIC selama ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, aduan penyalahgunaan media sosial semakin meningkat dalam tempoh lima tahun mulai 2013 yang lalu.

“Laporan yang diterima dalam tempoh setahun, iaitu antara 2013 dan 2014 menunjukkan peningkatan 347 kes atau 15.9 peratus. Pada tahun 2015 pula, ianya meningkat kepada 2,613 kes, berbanding 2,536 kes yang dicatatkan pada 2014.

“Peningkatan mendadak kepada 4,808 kes berlaku pada 2016, iaitu lonjakan 84 peratus dan sehingga September tahun ini adalah sebanyak 4,702 kes. Mereka yang menyalahgunakan media sosial untuk tujuan yang boleh mengganggu keharmonian agama, bangsa dan negara haruslah diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang undang,” katanya.

Namun, beliau percaya cabaran besar media sosial itu mampu diatasi hasil hubungan erat kerajaan negeri dan media dalam menyampaikan fakta yang betul kepada rakyat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *