Anda di sini!
Utama > Ekonomi > MDeC Jangka eRezeki, eUsahawan Bakal Jana 40 juta

MDeC Jangka eRezeki, eUsahawan Bakal Jana 40 juta

mh online

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menjangkakan platform eRezeki dan eUsahawannya dapat menjana jualan bernilai RM40 juta tahun ini, didorong oleh peningkatan penyertaan pedagang dalam talian dan penyambungan Internet yang lebih luas dan padu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Yasmin Mahmood berkata MDeC merancang meningkatkan kesedaran ke atas inisiatif berkenaan dalam kalangan masyarakat luar bandar menerusi pelbagai program capaian.

“Kami kini bekerjasama dengan pemimpin masyarakat seperti pertubuhan bukan kerajaan, wakil kerajaan negeri dan agensi negeri untuk menjayakan program capaian ini,” katanya pada taklimat media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Celcom Axiata Bhd di sini, Jumaat.

Menerusi perjanjian itu, Celcom dilantik sebagai rakan digital bagi memudahkan program e-Usahawan MdeC, yang dijalankan menerusi institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Seri Shazalli Ramly berkata syarikat itu juga akan menawarkan kad SIM khusus untuk pelajar eUsahawan, pakej telefon atau tablet, selain platform dalam talian Celcom, Escape, sebagai alat silibus pembelajaran eUsahawan.

Beliau berkata usahawan sedang meningkat naik juga boleh menggunakan pasaran dalam talian Celcom, 11th Street, sebagai sebahagian daripada projek eUsahawan.

“Menerusi MoU itu juga, Celcom akan meluaskan liputan 4G ke kampus TVET yang akan meningkakan pengalaman Internet kepada pelajar yang memudahkan proses pembelajaran mereka.

“Pada peringkat awal, 34 institusi politeknik di seluruh negara akan menjadi tapak 4G LTE Celcom, dan kami merancang meluaskan perkhidmatan sambungan kami dengan pemasangan infrastruktur WiFi, yang dijangkakan memberi manfaat kepada lebih 300,000 pelajar TVET di 462 institusi,” kata Shazalli.

Program eUsahawan, yang bermula pada Julai 2015, melibatkan 3,000 pelajar sepenuh masa pada peringkat awal, dengan 77 peratus daripada mereka berjaya menjana jualan bernilai RM1.3 juta menerusi platform dalam talian dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, 259 usahawan mikro yang menyertai kelas hujung minggu, menjana RM2.37 juta jualan tambahan sepanjang tujuh bulan.

Leave a Reply

Top