Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MCPF Cadang Buka Cawangan Di Setiap Daerah Polis

MCPF Cadang Buka Cawangan Di Setiap Daerah Polis

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bercadang membuka cawangannya di setiap 157 daerah polis bagi membantu polis mencegah jenayah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga pengerusi MCPF berkata sehubungan itu perlembagaan yayasan itu akan dipinda dalam mesyuarat luar biasa tidak lama lagi untuk tujuan itu.

“Ini adalah kerana ada permintaan daripada masyarakat supaya MCPF dapat diwujudkan di peringkat daerah-daerah polis bagi membantu polis di peringkat IPD (Ibu Pejabat Polis) dan balai-balai serta pondok-pondok polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan dan mempengerusikan mesyuarat agung MCPF ke-23 di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

MCPF, katanya, juga perlu bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang lain dalam membendung masalah jenayah dan tidak hanya bersama PDRM.

“Jenayah berjaya kita kurangkan 50 peratus tahun lalu berbanding 38 peratus pada tahun 2014 dan atas pencapaian ini syabas kepada PDRM dan berharap MCPF dapat bersama-sama agensi kerajaan yang lain kerana MCPF tidak boleh bergerak sendirian,” katanya.

Pada majlis itu Zahid turut mengumumkan penyerahan geran tambahan sebanyak RM3 juta kepada MCPF selain geran tahun sebanyak RM2 juta yang diterima MCPF.

Leave a Reply

Top