Meskipun mula melangkah ke bidang seni pada 2001, namun kelibat Maya Karin mula menjadi perhatian tatkala membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam tiga tahun kemudian.

Biarpun pernah menerima tawaran filem genre lain termasuk komedi, namun kelibatnya dalam filem seram dan thriller seperti Pontianak Harum Sundal Malam 2, Waris Jari Hantu, Nota dan Jwanita lebih mendapat perhatian.

Bahkan ada yang melabelkan anak kacukan Melayu-Jerman ini sebagai ratu filem seram.

Terbaru, pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke kembali mewarnai industri perfileman tempatan menerusi filem Munafik 2, yang juga sekuel Munafik arahan Syamsul Yusof.

Berkongsi penglibatannya dalam filem tersebut, Maya berkata, untuk pertama kalinya dia memberi kepercayaan penuh kepada pengarah hebat itu dan menerima tawaran tanpa melihat skrip terlebih dahulu.

“Sebenarnya sudah lama saya teringin bekerja di bawah Skop Production dan Datuk Yusof Haslam sendiri pernah menyatakan hasrat untuk bekerjasama.

“Ketika Syamsul tawarkan filem ini tiga minggu lalu, dia hanya bercerita ringkas mengenai watak yang perlu saya lakonkan tapi saya terus terima, lagi pun semua tahu kredibiliti dan pencapaiannya.

“Saya lihat pelakon lain juga hebat-hebat belaka. Selalunya, saya akan lihat dulu skrip sebelum terima, tapi kali ini saya letak kepercayaan sepenuhnya pada Syamsul,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran filem Munafik 2 di Finas, Ulu Kelang.

Meskipun diberi gelaran ratu filem Seram, akui wanita berusia 37 tahun ini, dia sebenarnya teringin menjayakan filem aksi dan berharap akan mendapat peluang suatu hari nanti.

Maya juga suka melakukan aktiviti lasak dan mengakui boleh berlawan tetapi pelakon cantik ini tertanya-tanya kenapa penerbit atau pengarah tidak pernah menawarkannya filem aksi.

“Mungkin ketika shooting Munafik 2, saya akan tunjukkan kemampuan pada Syamsul. Jadi bila dia tergerak untuk buat filem aksi, dia boleh panggil saya,” katanya berseloroh.

Berkongsi perkembangan terkininya, Maya berkata, 2017 akan menjadi tahun untuk dia fokus terhadap karier selepas bercuti panjang.

Ujarnya, selepas tamat penggambaran filem Nota pada April 2013, dia mula bercuti ke luar negara sambil melawat keluarga di Jerman.

“Munafik 2 adalah tawaran pertama tahun ini dan Insya-ALLAH, saya akan kembali sibuk.

“Ada satu lagi tawaran  filem untuk saya tapi masih dalam proses perbincangan dan saya juga merancang untuk merakamkan lagu,” katanya lagi.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *