Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengunjurkan eksport barangan kosmetik dalam industri gaya hidup untuk lelaki dan wanita berkembang pesat dipacu permintaan yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata barangan  kecantikan dan kosmetik bukan lagi eksklusif untuk wanita memandangkan lebih ramai lelaki kini berbelanja bagi penampilan peribadi mereka, sekali gus memperluaskan pasaran sasaran.

Kosmetik merupakan antara lima eksport utama Malaysia bagi industri gaya hidup dengan nilai RM1.25 bilion pada 2016.

“Antara 2011 dan 2016, nilai eksport keseluruhan adalah RM12 bilion,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan Bengkel Pembangunan Produk anjuran Matrade dan Pusat Asean-Korea di sini, Rabu.

Beliau berkata, dengan adanya permintaan, Malaysia akan memanfaatkan segmen halal bagi barangan kecantikan dan kosmetik yang menawarkan pasaran lebih luas, tidak lama lagi.

Barangan kecantikan dan kosmetik halal menjadi semakin terkenal dalam kalangan pengguna muslim di seluruh dunia.

“Barangan halal bukan hanya terhad kepada pengguna Islam sahaja, malah ia juga untuk pengguna lain, memandangkan konsepnya memberi penekanan khusus kepada kebersihan dan jaminan semasa proses pembuatan,” katanya.-

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *