KUALA LUMPUR, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan produk halal untuk memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti.

Ini akan membolehkan PKS, iaitu tulang belakang ekonomi negara, untuk menawarkan produk dengan teknologi terkini kepada dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros.

“Malaysia kaya dengan biodiversiti, menyebabkan pelbagai produk halal ditawarkan pengusaha tempatan kepada dunia.

“Dengan teknologi, pengeluar Malaysia boleh menambah nilai kepada produk halal mereka, yang sudah pun terkenal dengan tahap tertinggi integriti dari segi kebersihan dan kualiti,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Sabtu.

Mohd Shahreen berkata, MATRADE, sebagai agensi penggalakan perdagangan Malaysia telah menekankan kepentingan syarikat Malaysia untuk melabur lebih banyak dalam teknologi.

Ketua Penyelidikan Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Mohd Nasir Desa, yang turut hadir pada majlis itu berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi membantu syarikat tempatan menggunakan teknologi tinggi dalam pembangunan produk halal mereka.

Wakil SME Instrument, pertubuhan di bawah Suruhanjaya Kesatuan Eropah juga hadir. SME Instrument adalah antara peserta Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2017 yang ditempatkan di bawah Pavilion Eropah.

Dua daripada syarikat Eropah, Avanticell Science Ltd (UK) dan Uniq Bioresearch Ltd (Finland) berkongsi pengalaman mereka dalam memanfaatkan teknologi bagi menguasai pasaran halal.

Ketua Pegawai Saintifik Avanticell, Colin Wilde berkata, Malaysia mempunyai kekuatan dalam industri halal dan pintu masuk ke ASEAN.

“Dengan menyertai MIHAS, kami boleh berjumpa pengeluar dari Malaysia yang berpotensi menjadi rakan niaga kami. Produk mereka sesuai dengan teknologi kami dan boleh berjaya di Eropah juga.

“Kami percaya produk halal adalah yang terbaik dari segi kualiti serta kebersihan dan teknologi boleh memberi sokongan untuk menjadikan produk terbabit lebih baik lagi,” kata Wilde.

Wakil Uniq Bioresearch, Sari Akras pula berkata, pihaknya juga mendapati MIHAS adalah platform terbaik untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia.

“Kami amat teruja untuk melihat banyak produk boleh dieksport ke Eropah dengan menggunakan teknologi kami.

“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk merealisasikan rancangan ini,” tambahnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *