Masyarakat Cina di Kemaman akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang setelah menyaksikan kesungguhan BN membela nasib mereka sejak PRU13.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata sokongan itu dilafazkan oleh ketua dan pemimpin 27 persatuan dan kelab masyarakat Cina dalam satu program ramah mesra yang diadakan malam tadi.

“Hampir 3,000 masyarakat Cina hadir ke majlis ini membuktikan sokongan mereka kepada kepimpinan BN negeri di mana mereka nyatakan untuk kembali menyokong BN Terengganu pada PRU akan datang kerana sudah membuat penilaian parti mana yang lebih banyak membela nasib mereka ketika dalam kesusahan.

“Kita berharap sokongan ini akan berterusan sehingga PRU 14 dan diterjemahkan melalui kertas undi kerana BN akan terus memastikan kesejahteraan hidup masyarakat Cina di Kemaman ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di Dewan Komuniti Masyarakat Cina Kemaman di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Rosli turut mengumumkan peruntukan RM100,000 daripada kerajaan negeri untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan di dewan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi penganjur program, Datuk Soh Kok Hiang berkata masyarakat Cina Kemaman sudah mengenal mana kaca dan mana permata sejak pilihan raya umum lalu.

“Kita lihat BN yang banyak memberi bantuan kepada masyarakat Cina di Kemaman apabila berlaku masalah seperti banjir, BN yang akan pertama turun meninjau permasalahan kami.

“Jadi, kami semua 27 kelab dan NGO Cina Kemaman memutuskan untuk kembali menyokong BN Terengganu dan berharap BN akan terus kekal memerintah negeri ini pada PRU akan datang,” katanya.

Bagi Pengerusi kehormat Persatuan Kelab Kemaman, Datuk Alex Siaw Teck Hwa pula, BN Terengganu tidak pernah menafikan suara masyarakat Cina dan sentiasa mengambil cakna kebajikan mereka walaupun mereka adalah golongan minoriti di negeri itu.

Berdasarkan Statistik Asas Terengganu 2015, jumlah masyarakat Cina di Terengganu hanya seramai 27,700 orang atau 2.39 peratus daripada keseluruhan 1.16 juta rakyat negeri itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *