UMNO tidak akan memberi ruang dan peluang kepada parti lain terutama DAP untuk memecah-belahkan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata semua pemimpin dan ahli perlu bersatu kerana pelbagai usaha dilakukan pembangkang demi meruntuhkan perjuangan UMNO.

“Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan pelbagai usaha untuk menarik kroninya dalam UMNO, namun usaha beliau gagal kerana mereka tidak yakin dengan perjuangan yang dibawa Tun.

“UMNO hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran bukan sahaja dari DAP, sebaliknya bekas pemimpin parti sendiri.

“Namun, disebabkan tunjang ahli dan pemimpin UMNO kuat, kita berjaya menghadapinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Bicara Minda dan Dialog “Perjuangan For All” di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini, malam tadi.

Ahli panel lain adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Terdahulu, pada dialog berkenaan, Annuar mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak memandang ringan kekuatan DAP yang diakui mempunyai pengaruh kuat.

“Buktinya jelas apabila PAS bersama DAP sebelum ini, DAP berjaya memecah-belahkan PAS sehingga pemimpin parti itu keluar dengan mewujudkan parti baharu.

“Sedangkan, dalam tempoh itu, PAS tidak mampu sama sekali mempengaruhi ahli DAP untuk menyertai PAS.

“Kekuatan DAP juga jelas dalam pakatan pembangkang apabila tiada seorang pemimpin pun yang berani bersuara supaya membantah pesta arak dibatalkan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *