KUALA LUMPUR, Negara anggota Telekomuniti Asia Pasifik (APT) kini lebih perlu memberi fokus terhadap kualiti dari segi capaian dan pengalaman pengguna dalam sektor telekomunikasi, bukan lagi mengenai penyediaan akses.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata langkah itu akan membantu transformasi ke arah ekonomi digital, dengan memberi penekanan utama terhadap memanfaatkan ketersambungan berkelajuan tinggi.

Berucap pada Mesyuarat Keempat Kumpulan Persediaan Telekomuniti Asia Pasifik bagi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia (WTDC-17) di sini hari ini, beliau berkata oleh kerana inovasi dalam bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) kini lebih menjadi pilihan dalam bidang perniagaan dan pengembaraan, maka negara Asia Pasifik perlu meningkatkan keupayaannya dan terus meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital.

“Saya ingin menggesa para penggubal dasar dan pengawal selia ICT, yang mempunyai peranan penting dalam kolaborasi rentas sektoral dengan sektor lain supaya meruntuhkan tembok yang tidak lagi relevan dan sebaliknya menjadi pemudah cara ke arah pembangunan sosiopolitik dan pertumbuhan ekonomi,? katanya.

Jailani berkata negara anggota APT juga perlu mengambil langkah yang diperlukan bagi menangani masalah keselamatan siber melalui pendekatan menegak dan lintas sektoral.

“ICT memiliki kelebihan dan kelemahan. Tanpa ICT, kita akan ketinggalan, tetapi apabila ICT diperkenalkan dan dilaksanakan, kita terdedah kepada pelbagai masalah siber yang sentiasa berubah,” katanya.

Sehingga April 2017, jumlah serangan siber menggunakan perisian tebusan, yang lebih dikenali sebagai ransomware, meningkat kepada 50 peratus dan menurut laporan, serangan ransomware pada 2016 mengakibatkan kerugian berjumlah kira-kira US$ 1 bilion.

Pada Mei tahun ini, ransomware dikenali sebagai WannaCry melumpuhkan banyak institusi dan perniagaan penting berikutan kekurangan kesedaran dalam kalangan orang ramai dan entiti persendirian tentang kepentingan menangani keselamatan siber.

Mesyuarat hari ini merupakan yang terakhir dalam siri mesyuarat Kumpulan Persediaan APT dan peserta dijangka menumpukan perbincangan tentang perkembangan dalam bidang ICT serta projek dan program yang akan memberi manfaat kepada negara anggota.

Hasil mesyuarat ini akan dibawa ke WTDC-17, yang dijadual berlangsung pada Oktober tahun ini di Buenos Aires, Argentina.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *