Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Masa depan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan ditentukan hasil perbincangan berterusan antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Kementerian Kewangan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perbincangan itu penting, terutama sejak SESB terus mencatat kerugian dan berada di ambang kesolvenan.

“Tarif purata semasa SESB ialah 34.52 sen/kwh manakala kos penjanaan tenaga pada 56.50 sen/kwh. Oleh itu, kerajaan persekutuan memberi subsidi kos bahan bakar SESB, terutama diesel, minyak dan gas bahan api sederhana,” kata Ongkili sambil menambah kerajaan persekutuan juga menyediakan sebahagian besar perbelanjaan modal (capex) SESB.

TNB memiliki 82.75 peratus SESB, manakala selebihnya dipegang oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Sejak 2012, sejumlah RM4.2 juta dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan untuk meningkatkan operasi SESB, dan TNB dan SESB juga turut menyumbang bahagian masing-masing untuk capex.

Ongkili berkata menerusi usaha ini, indeks tempoh gangguan tahunan telah dikurangkan daripada 777 minit/pelanggan/tahun pada 2014 kepada 311 tahun lepas, dan dijangka dikurangkan lagi kepada 280 menjelang akhir tahun.

Beliau berkata SESB juga telah meminta semakan tarif sejak semakan terakhirnya pada 2014, namun kerajaan persekutuan bertanggungjawab memastikan tarifnya adil dan berpatutan kepada pengguna.

“Kami mahu memastikan semakan tarif mencerminkan kualiti bekalan tenaga yang diberkalkan,” katanya menjawab kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd.

Azman dilaporkan berkata mereka sedang membincangkan masa depan SESB, dan persetujuan mengenai pilihan terbaik masa depan syarikat itu dijangkakan dicapai menjelang tahun baharu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *