Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MARA Perkasa Ekonomi Bumiputera

MARA Perkasa Ekonomi Bumiputera

Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus mempergiatkan usaha mencapai matlamat Agenda Pemerkasaan Bumiputera melalui pelbagai strategi dan inisiatif terkini ke arah penciptaan kekayaan dan pewujudan peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, MARA mempunyai ekosistem pembangunan usahawan lengkap dan terkehadapan dalam memperjuangkan usahawan Bumiputera meliputi kemudahan pinjaman perniagaan, penyediaan premis, khidmat nasihat dan konsultansi, program pemasaran serta pembangunan industri.

“Jika kita lihat pada statistik, pembabitan usahawan Bumiputera dalam ekonomi masih rendah iaitu 37.4 peratus daripada 645,136 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah milik Bumiputera yang majoritinya perusahaan mikro.

“Justeru, melalui kemudahan di bawah MARA ini, kita akan melipatgandakan usaha melahirkan usahawan baru, memperkasakan usahawan sedia ada di samping memperhebatkan perniagaan mereka,” katanya pada majlis perasmian Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR).

Beliau turut menegaskan MARA memberi penumpuan khusus melahirkan usahawan pembuatan memandangkan sektor ini menyumbang kepada 23.7 peratus daripada sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 48.5 peratus kepada eksport negara.

“Antaranya adalah melahirkan usahawan pembuatan dalam industri halal memandangkan nilai pasaran global produk halal kini mencecah AS$2.77 trilion setahun dengan nilai pasaran dari Malaysia berjumlah RM37.7 bilion,” katanya.

Tambahnya, bagi memenuhi permintaan global, MARA sudah pun terkehadapan dalam membangunkan pengeluar produk halal tempatan dengan mewujudkan Ekosistem Halal MARA meliputi Halal Park MARA di seluruh Malaysia iaitu di Kuala Perlis (Perlis), Pengkalan Chepa (Kelantan), Tambun (Perak) serta di Demak Laut, Sarawak melonjakkan usahawan mikro dan kecil Bumiputera ke arah lebih berdaya maju dan berdaya saing.

“Selain daripada KIMAR, Ekosistem Halal MARA turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti Inkubator Teknologi Makanan serta Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU)

“Pusat ini menepati piawaian Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan Persijilan Halal khusus dalam membangunkan usahawan pengilang makanan halal,” katanya.

Usahawan Bumiputera dalam industri makanan yang beroperasi di 19 ruang kilang KIMAR tahun lalu saja sudah mencatat jualan mencecah RM40 juta dan mewujudkan lebih 200 pekerjaan.

Bagi merancakkan lagi perniagaan usahawan di KIMAR, Alexander menjelaskan bahawa MARA turut membangunkan KIMAR Factory Outlet (KFO) sebagai satu platform promosi.

“Program Online e-Marketplace dibangunkan bagi mempromosikan produk masing-masing dan menjalankan proses urus niaga secara maya.

“Program ini juga akan diperluaskan kepada produk usahawan MARA dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad berkata, industri halal terus melakar perkembangan positif ekoran permintaan yang semakin meningkat di pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya menyedari hakikat ini, MARA mengambil inisiatif mewujudkan satu ekosistem halal dalam mendukung hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan integriti halal serta meningkatkan aktiviti pengeluaran dan dagangan.

“Pelbagai inisiatif diambil untuk turut serta dalam program pembangunan industri halal yang mana seramai 150 usahawan makanan telah dibangunkan dan ditempatkan di Halal Park MARA di seluruh Malaysia,” katanya.

Jelasnya lagi, melalui kemudahan dan fasiliti itu, 150 usahawan di Halal Park merekodkan jumlah jualan tahunan sebanyak RM60 juta serta membuka peluang lebih 5,000 pekerjaan.

Menyentuh kepada KIMAR, Ibrahim berkata, kompleks yang berkeluasan hampir tiga ekar itu menyediakan lot pengeluaran makanan dan minuman kepada 19 usahawan berorientasikan eksport.

“Lebih RM46 juta disalurkan kepada usahawan KIMAR meliputi pembiayaan mesin atau peralatan serta modal pusingan,” katanya.

Menurut Ibrahim, pasar raya borong tempatan seperti Mydin, KLIA, klia2, Giant, Tesco menjadi destinasi pasaran produk KIMAR, malah turut berjaya dieksport ke Singapura, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya.

Melengkapi usaha ini, MARA turut merangka pelbagai program pemasaran termasuk kolaborasi bersama agensi lain seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Leave a Reply

Top