Anda di sini!
Utama > Terkini > MARA Kelantan Peruntuk RM56 Juta Bantu 650 Usahawan Tahun Ini

MARA Kelantan Peruntuk RM56 Juta Bantu 650 Usahawan Tahun Ini

mh online

Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kelantan memperuntukkan sebanyak RM56 juta bagi pembiayaan perniagaan kepada 650 usahawan di negeri itu tahun ini.

Pengarahnya Ismail Abdullah berkata peruntukan itu termasuk RM3 juta kepada usahawan baharu lepasan institusi di bawah kelolaan MARA.

“Semua peruntukan tersebut disalurkan melalui tujuh skim pembiayaan termasuk Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM).

“Bantuan kepada usahawan baharu pula disalurkan menerusi Program Usahawan Teknikal (PUTEK),” katanya pada majlis makan tengah hari bersama media di sini, Isnin.

Beliau berkata di bawah PUTEK, skim berkenaan memberi peluang kepada pelatih lepasan institusi MARA menceburkan diri dalam perniagaan mengikut kemahiran yang dimiliki terutama bidang teknikal dengan pinjaman sebanyak RM10,000 tanpa penjamin dan tidak dikenakan faedah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata hampir 85 peratus usahawan MARA di Kelantan berjaya mengekalkan perniagaan masing-masing dengan prestasi peningkatan perniagaan yang agak perlahan.

“Kita dapati kebanyakan usahawan melaburkan keuntungan perniagaan kepada pembelian aset lain seperti tanah atau melabur dalam skim amanah berbanding memberi fokus kepada mengurus perniagaan,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun sehingga kini MARA Kelantan berjaya menghasilkan kira-kira 2,500 usahawan setahun dengan perniagaan kosmetik mendahului jenis perniagaan lain.

“Kita akan terus membantu semua usahawan MARA negeri ini untuk memajukan perniagaan masing-masing terutama melalui Persatuan Usahawan MARA Kelantan (PMUK),” katanya.

Dalam pada itu Ismail berkata pihaknya telah mengenalpasti beberapa lot kedai untuk dibeli bagi menambah 104 lot kedai MARA yang sedia ada di Pengkalan Chepa.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top