KUALA LUMPUR, Mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eskekutif (CEO) Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank), Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman menerima Anugerah Kepimpinan Perbankan Runcit Islam 2017 (IRBA) pada majlis Anugerah Perbankan Runcit Islam Ke-3 di Dubai, malam sabtu.

Pengerusi dan Pengasas IRBA, Dr Humayon Dar dalam satu kenyataan hari ini, berkata jawatankuasa anugerah amat kagum dengan kepimpinan Wan Mohd Fadzmi dalam mentransformasi Agrobank menjadi sebuah bank institusi kewangan Islam sepenuhnya yang moden.

“Beliau telah menjadi penggerak transformasi Agrobank sejak enam tahun yang lalu, terutama dalam memperkukuhkan asas dan perniagaan teras bank, ” katanya.

Anugerah Kepimpinan IRBA memberi penghormatan kepada para pemimpin cemerlang yang bukan sahaja memberi perbezaan kepada institusi masing-masing, malah turut memperjuangkan pembangunan sektor perbankan Islam.

Sementara itu, mengulas mengenai anugerah tersebut, Wan Mohd Fadzmi berkata beliau percaya bahawa intipati transformasi untuk organisasi seperti Agrobank adalah bermula daripada jiwa, dan daripada pengurusan tertinggi sehingga ke semua bahagian.

“Seorang pemimpin harus memberi tumpuan dalam mendapatkan pasukan yang terbaik bagi sasaran strategik yang telah ditetapkan untuk sesebuah organisasi,” katanya.

Di bawah kepimpinan Wan Mohd Fadzmi, pertumbuhan Agrobank telah berkembang sebanyak 16.9 peratus dengan jumlah nilai pembiayaan yang mencecah sehingga RM8.7 bilion pada 2016, yang juga merupakan pencapaian terbaik untuk bank tersebut.

Beliau melepaskan jawatannya pada 31 Ogos, 2017, selepas enam tahun menerajui Agrobank.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *