PUTRAJAYA, Pembangunan metropolis bertaraf dunia, Malaysia Vision Valley (MVV) di Negeri Sembilan, mampu menarik pelaburan lebih RM290 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

MVV yang meliputi kawasan seluas 153,000 hektar, merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson serta menjadi sebahagian daripada Greater Kuala Lumpur, akan dibangunkan secara berfasa sehingga 2045, katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata MVV dibahagikan kepada lima kluster strategik iaitu Central Business District, Nature City, Edu-Tech Valley, Tourism and Wellness dan New Liveable Township.

“MVV merupakan pembangunan yang terancang, lestari dan inklusif. Ia memastikan semua lapisan masyarakat menikmati faedah pembangunan ini,” katanya, sambil menambah pembangunan MVV dilakukan secara usaha sama pintar pihak awam dan swasta.

Najib berkata demikian pada majlis menandatangi perjanjian untuk pembangunan MVV melibatkan Sime Darby Property Bhd, Brunsfield Development Sdn Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan, yang beliau saksikan.

Pemaju utama MVV ialah Malaysia Vision Valley Holdings Sdn Bhd. Najib berkata MVV akan memberi fokus kepada empat pemacu pembangunan utama iaitu berteraskan pembuatan teknologi tinggi; pelancongan dan kesejahteraan; penyelidikan dan pendidikan berasaskan kemahiran; dan perkhidmatan khusus dengan pemacu adalah selari dengan Bidang Ekonomi Utamaa National Key Economic Areas di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara.

Beliau berkata pembangunan MVV dalam tempoh lebih kurang 30 tahun itu akan melaksanakan lapan projek utama.

Ini termasuk High Tech Park & Industrial Campus, Integrated Transport District, Sport & Recreational City, World Knowledge City, Biopolis & Wellness City dan Tourism District yang dijangka mampu mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan baharu, katanya.

Najib dalam pada itu menegaskan bahawa keperluan rakyat semua peringkat diambil kira meskipun pembangunan MVV bertaraf metropolis.

“MVV akan menyediakan perumahan mampu milik dengan anggaran kawasan terlibat lebih 1,000 ekar bagi maksud ini. MVV juga akan menyediakan kawasan bagi kemudahan awam dan rekreasi dengan kawasan hijau melebihi 1,000 ekar, ” katanya.

Najib berkata MVV akan mempunyai hab pengangkutan bersepadu berteraskan perkhidmatan rel laju di Labu, Negeri Sembilan yang akan menghubungkan MVV dengan KLIA, Bandar Malaysia dan Singapura.

“Hab ini akan mempunyai rangkaian kemudahan pengangkutan awam yang komprehensif serta mesra pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, katanya untuk pelan pelaksanaan pertama Rancangan Malaysia Kesebelas sejumlah RM560 juta telah diluluskan bagi pembangunan sistem perhubungan jalan raya di kawasan MVV.

“Beberapa projek lain sedang dalam pertimbangan seperti rangkaian lebuh raya serta jaringan bersepadu perkhidmatan rel bagi menghubungkan ke kawasan sekitar KLIA,” katanya.

Sementera itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohammad Hasan ketika ditemui pemberita berkata pembangunan MVV akan dilancarkan secara global antara Julai dan Ogos tahun ini atau selepas acara Sukan Sea bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri.

“MVV merupakan satu projek yang unik tanpa melibatkan tanah adat yang mana kesemuanya adalah milik swasta.

Malah, tegasnya tiada penempatan semula penduduk akan dilakukan untuk projek itu namun penduduk di sekitar MVV diyakini akan merasai limpahan harga tanah yang meningkat.

“Ini adalah baik untuk penduduk negeri ini kalau tak selama ini orang luar cakap pasaran tanah di Negeri Sembilan ‘sejuk’ “, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *