BANGI, Malaysia tidak akan berkongsi maklumat siasatan kematian warga Korea Utara Kim Jong-nam dengan badan antarabangsa sehingga semua proses perundangan selesai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkongsian maklumat secara perjanjian bantuan perundangan bersama (MLAT) yang melibatkan empat aspek iaitu DNA, forensik, laporan kimia dan rakaman litar tertutup (CCTV) itu hanya akan dikongsi jika ada permintaan dan semua proses perundangan selesai.

Malaysia, katanya, boleh berkongsikan maklumat dengan badan perisikan antarabangsa dan boleh diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan kehakiman memuktamadkan proses perundangan masing-masing.

“Malaysia terbuka berkongsi dengan mereka tetapi mereka perlu menghormati sistem perundangan dan kehakiman negara,” katanya mengulas gesaan Britain yang meminta Malaysia berkongsi bukti siasatan kes Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu dengan PBB, yang boleh mengambil tindakan ke atas Korea Utara.

Duta Britain ke PBB Matthew Rycroft dilaporkan berkata maklumat mengenai serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang menyebabkan Jong-nam terbunuh seharusnya dihantar kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di Hague.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Multaqa Pendidikan dan Sosial, Majlis Perundingan Islam (MPI) di sini, Ahmad Zahid berkata siasatan itu mesti konklusif bukan hanya PDRM malah Kementerian Kesihatan, Malaysia Airport Holding Bhd dan pemilik CCTV yang merakamkan insiden berkenaan.

Berhubung tindakan pemantauan ke atas warga Korea Utara, Ahmad Zahid berkata siasatan awal PDRM mendapati pihak yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan terancang itu telah memulakan operasi dua bulan sebelum kejadian itu.

Beliau berkata PDRM mengambil tindakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan siasatan didapati benar apabila kejadian itu benar-benar berlaku dan dirakam CCTV, yang menyebabkan dua suspek ditahan dalam tempoh kurang 48 jam.

Ditanya sama ada kes itu menjejaskan nama baik negara, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak bimbang mengenai hal itu kerana Malaysia tidak mempunyai agenda tersembunyi atau bersekongkol dengan negara lain atau melindungi penjenayah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengesahkan laporan DNA mangsa sudah selesai, namun berdasarkan undang-undang negara, ia perlu dipadankan dengan DNA waris mangsa.

“Untuk tindakan lanjut, pihak kami sudah mengambil beberapa langkah untuk menghubungi waris (Jong-nam),” katanya.

Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 (klia2) pada 13 Feb lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata agen saraf VX digunakan dalam pembunuhan Jong-nam.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *