Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Sentiasa Pertahan Hubungan, Kukuh Prinsip Hormat – TPM

Malaysia Sentiasa Pertahan Hubungan, Kukuh Prinsip Hormat – TPM

Malaysia sentiasa mempertahankan hubungannya dengan negara lain selain memperkukuhkan prinsip saling hormat menghormati, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas timbalan perdana menteri, Malaysia juga tidak ingin mencari masalah dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara selama ini.

“Tetapi jika ada negara menjadikan Malaysia sebagai fokus serangan mereka kononnya memanipulasi satu pembunuhan, maka Malaysia harus melihat semula hubungan diplomatik mereka dengan negara tertentu.

“Malah Malaysia juga harus menghantar mesej yang jelas kepada negara terbabit,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di sini ini, Isnin.

 Beliau mengulas langkah kerajaan mengusir Duta Besar Korea Utara Kang Chol Sabtu lepas berikutan Kang Chol dilaporkan membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol pada 13 Februari.

Ahmad Zahid berkata keputusan mengusir duta adalah sesuatu yang jarang dilakukan kecuali ia berbentuk serangan persepsi yang mengancam maruah dan kedaulatan negara.

“Saya telah menyatakan beberapa kali bahawa kita tiada agenda tersembunyi malah siasatan terhadap kes berkenaan dilakukan secara profesional. Tenaga profesional yang ada pada kita mencukupi untuk melakukan aspek-aspek bedah siasat dan soal siasat yang dilakukan polis,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setiap keputusan yang dilakukan di negara ini adalah berlandaskan kepada undang-undang negara dan Korea Utara perlu menghormati perkara itu.

Katanya negara lain juga akan mengambil keputusan yang sama sekiranya terdapat pihak yang cuba campur tangan dalam urusan kedaulatan dan undang-undang negara mereka.

Menurut beliau, sekiranya Kang Chol enggan keluar dari negara ini, keputusan sewajarnya akan diambil oleh pihak Kementerian Luar.”Masih ada ruang untuk berdiplomasi.

Masih ada ruang bagi kita memastikan pejabat asing dan Kementerian Dalam Negeri berbincang. Untuk lakukan apa yang perlu, tetapi apa yang paling penting rakyat perlu bersatu untuk mempertahankan pendirian kita bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kes pembunuhan warganegara Korea Utara Kim Chol (atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin utama Korea Utara seperti yang dilaporkan secara meluas), telah menjejaskan hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Pyongyang dan keadaan tidak akan lagi sama seperti sebelum ini.

“Perlu saya katakan hubungan sudah mempunyai kesan dan tidak akan sama lagi,” katanya.

Beliau berkata tindakan pengusiran yang dibuat kerajaan itu adalah berdasarkan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang Malaysia sendiri.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan Malaysia mengisytiharkan Duta Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ merupakan tindakan yang wajar dilaksanakan.

“Apabila mereka mempertikaikan perkara yang menyentuh tentang kedaulatan dan keluhuran undang-undang negara kita, ia merupakan suatu perbuatan yang serius.

“Dan kerajaan kita harus memberi satu signal yang tegas kalau tidak perkara seperti ini akan membawa kepada masalah yang lebih besar termasuk campur tangan negara-negara asing dalam kedaulatan sesebuah negara,” katanya.

Jelas Annuar, sebagai seorang duta, Kang Chol sepatutnya memahami arahan itu dan perlu meninggalkan Malaysia.

Sabtu lepas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memaklumkan kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini.

Persona Non Grata jika diterjemah bermaksud ‘Orang yang tidak diterima sesebuah negara selama-lamanya’ dan seseorang yang telah diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada di sesebuah negara.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia mengumumkan warga Korea Utara dikehendaki memohon visa untuk memasuki negara ini berkuat kuasa 6 Mac.

Pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan media dengan meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un, berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), sebelum beliau berlepas ke Macau.

 

Leave a Reply

Top