Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Sedia Kongsi Kepakaran Dengan Jepun

Malaysia Sedia Kongsi Kepakaran Dengan Jepun

KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia bersedia berkongsi kepakaran, pengetahuan dan pengalaman dengan Jepun berkaitan industri halal dan pelbagai perkhidmatan berkaitan, lebih-lebih lagi negara matahari terbit itu akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

“Bersempena dengan Sukan Olimpik 2020, Jepun menyasarkan peningkatan kunjungan pelancong dan seterusnya (negara itu) berminat untuk membangunkan dan meningkatkan industri halal mereka,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Timbalan Presiden Parti Demokratik Liberal Jepun, Masahiko Komura di pejabatnya di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, kerjasama itu ditawarkan Malaysia berikutan keperluan yang semakin meningkat ke atas produk halal di negara berkenaan.

Ahmad Zahid berkata kerajaan Jepun juga menunjukkan hasrat yang amat tinggi untuk mengambil bahagian dalam projek Kereta api Berkelajuan Tinggi yang dirancang di negara ini bagi menyediakan pengangkutan lebih cepat dan selamat antara Kuala Lumpur dan Singapura.

“Kerajaan Malaysia maklum akan rekod baik Jepun dalam projek seumpama ini dan berharap syarikat-syarikat dari negara itu menyertai tender yang akan dibuka kelak,” katanya.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan kira-kira 30 minit.

Komura yang merupakan Presiden Nippon Budokan, sebuah organisasi seni mempertahankan diri mengetuai delegasi seramai 75 anggota organisasi itu (Nippon Budokan) ke ibu negara dalam rangka lawatan selama enam hari bermula semalam.

Delegasi itu akan mengadakan beberapa demonstrasi persembahan seni mempertahankan diri termasuk satu persembahan di Kompleks Sukan Negara pada 12 Nov sebagai satu daripada acara sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

Leave a Reply

Top