Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Sedia Berunding – TPM

Malaysia Sedia Berunding – TPM

Kerajaan Malaysia bersedia untuk berbincang dengan Korea Utara bagi mencari jalan penyelesaian terbaik memulihkan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang berlanjutan sejak minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia tidak perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara, sebaliknya sedia menyelesaikan kemelut itu secara baik.

“Sebenarnya, delegasi Korea Utara masih ada di dalam negara, mereka masih belum pulang ke Pyongyang.

“Wisma Putra akan berbincang dengan mereka (delegasi Korea Utara) berkaitan isu itu agar ia dapat diselesaikan secara baik,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah dan pelancaran novel pemenang Sayembara Menulis Novel Sejarah Untuk Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah dan pelancaran novel pemenang Sayembara Menulis Novel Sejarah Untuk Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia di sini, Rabu.

Ketika ditanya bila rundingan itu akan diadakan, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan mengenai perkara tersebut.

“Biar Perdana Menteri keluar kenyataan rasmi mengenai perkara itu,” katanya.

 Diminta mengulas adakah Malaysia kini dalam keadaan langkah berjaga-jaga, Ahmad Zahid berkata, ia bergantung kepada ancaman daripada Korea Utara.

Namun katanya, beliau yakin setakat ini Korea Utara akan bertindak secara rasional dalam menyelesaikan krisis tersebut.

“Kita percaya apa yang penting adalah untuk mengekalkan hubungan diplomatik dengan mereka (Korea Utara) dan keselamatan rakyat Malaysia di Pyongyang.

“Saya percaya Korea Utara juga prihatin mengenai keselamatan rakyat mereka di negara ini,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai bilangan rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia, Ahmad Zahid enggan memberikan sebarang komen.

Sebaliknya, beliau mahu jumlah tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri.

 

Leave a Reply

Top