KUALA LUMPUR, Malaysia bukan sahaja berhasrat mahu menjadi antara 20 negara terbaik di dunia dalam bidang ekonomi menjelang 2050, malah turut mahu berada dalam kedudukan terbaik dalam bidang ilmu pengetahuan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata menjelang tahun itu, universiti-universiti negara bukan sahaja perlu berada di kedudukan terbaik dunia, tetapi mampu menghasilkan cendekiawan-cendekiawan bertaraf dunia.

“Kita mahu cendekiawan-cendekiawan yang boleh menulis buku-buku dan menjalankan penyelidikan yang boleh diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan menerima Hadiah Nobel dalam bidang ilmu-ilmu tertentu.

“Kita juga mahu pegawai-pegawai kita di pelbagai agensi dan inovasi berada di (kedudukan) peringkat global,” katanya semasa menyampaikan wacana bertajuk ‘Budaya Ilmu Teras Kekuatan Negara’ pada Siri Forum Kementerian Dasar Awam Intan (IPPMFS) 2017 di sini hari ini.

Katanya, menjelang tahun itu juga negara menyasarkan untuk melahirkan ahli-ahli pentadbir dan profesional dalam pelbagai bidang yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta penjawat awam supaya membudayakan ilmu pengetahuan bersandarkan elemen emosi, roh dan kebijaksanaan supaya perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat menepati realiti semasa.

Beliau berkata segala ilmu yang diperoleh sehingga ke peringkat tinggi sekalipun tidak akan berguna jika gagal diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian.

“Penjawat awam merupakan nadi pembangunan negara, tetapi jika gagal mengaplikasikan ilmu yang dimiliki dalam perkhidmatan awam maka terjejaslah hasrat kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang dilancarkan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis itu, timbalan perdana menteri menasihati pihak tertentu agar tidak menggunakan ilmu untuk menyindir walaupun dalam bentuk ‘satira’ yang menyakitkan hati pihak lain.

Katanya walaupun perkara itu mungkin dibenarkan dalam sesetengah budaya lain, namun ia tidak sesuai dilakukan di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai karikatur Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang disiarkan portal dan akhbar harian Nanyang Siang Pau.

Mengulas mengenai kritikan pembangkang terhadap pelantikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata sememangnya ia adalah sikap pembangkang yang sentiasa mempertikai tindakan kerajaan.

“Kita buat kerja sahaja, yang penting kita ikhlas… saya pun pernah dipertikaikan tetapi saya tidak memperdulikannya dan terus melaksanakan tanggungjawab saya,” katanya.

IPPMFS merupakan program bitara Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang dilaksanakan setiap tahun dengan mengundang tokoh-tokoh ternama untuk berkongsi wacana ilmu bersama penjawat awam.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *