Share on Facebook

KUCHING, Datuk Seri Najib Razak yakin negara ini mampu muncul dalam kelompok 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050.

Perdana Menteri menjelaskan keyakinan itu bersandarkan prestasi kukuh ekonomi negara, selain disokong pelbagai inisiatif pembangunan diperkenalkan kerajaan, termasuk Dasar Digital Malaysia (MDP).

“MDP adalah suatu kerangka rumusan yang menjadi asas utama pembangunan ekonomi digital negara dalam merealisasikan hasrat kita untuk muncul antara 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050.

“Malah, dasar baharu itu juga mampu menyumbang peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF13) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam.

Bertemakan ‘Perubahan Gangguan: Kesan dan Cabaran’, forum berkenaan yang memasuki edisi ke-13 penganjurannya selepas diasaskan penubuhannya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, memfokuskan sentimen semasa dalam kalangan negara sedang membangun untuk mendepani Revolusi Industri 4.0.

Ini termasuk pembangunan ekonomi digital yang lebih berinovasi, sekali gus mewujudkan suatu konsep jaringan perdagangan rentas sempadan di peringkat global.

Najib yang juga Penaung WIEF, berkata kepentingan pembangunan ekonomi digital itu turut menyaksikan Malaysia antara negara terawal mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital, selain China.

“Ia seiring dengan kedudukan Malaysia yang kini muncul antara pasaran e-perdagangan di peringkat global membabitkan janaan pendapatan mencecah RM9.53 bilion tahun lalu.

“Namun, misi utama kita melalui penubuhan zon perdagangan itu adalah melakukan transformasi ekonomi berskala besar, khususnya menjadikan Malaysia sebagai hab e-perdagangan serantau,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Malaysia mendapat tempat pertama dalam Petunjuk Ekonomi Global Islam daripada 73 negara seluruh dunia.

Katanya, Malaysia juga jauh mengatasi negara di tempat kedua iaitu Emiriyah Arab Bersatu apabila mendapat markah 50 peratus lebih tinggi.

Petunjuk itu adalah sebahagian daripada laporan Keadaan Ekonomi Islamik Global 2016/2017 yang dikeluarkan oleh Thomson Reuters.

“Dalam laporan itu menyebut ekonomi Islamik, yang merangkumi makanan halal, kewangan Islamik, pelancongan halal, fesyen sederhana, rekreasi dan media halal, farmaseutikal dan kosmetik halal, diunjurkan mencecah RM12.4 trillion menjelang 2021.

“Laporan itu juga menyebut yang saiz pasaran aset kewangan Islam diunjurkan bernilai RM14.5 trilion pada tahun yang sama.

“Tambahan, dalam tempoh menjelang tahun 2021, dijangkakan pertumbuhan dalam negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan meningkat lebih darioada sekali ganda berbanding ekonomi negara maju,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *