Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Punya Acuan Sendiri Perangi Dadah – TPM

Malaysia Punya Acuan Sendiri Perangi Dadah – TPM

Malaysia tidak boleh menggunakan acuan negara lain dalam dasar memerangi dadah dan memaksa penggunaannya, di negara ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, acuan yang dipraktik negara lain seperti Filipina tidak sesuai digunakan di Malaysia dalam menangani masalah berkenaan.

“Kita tidak boleh guna acuan negara lain untuk direla paksakan penggunaannya di negara ini.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mana acuan Filipina tidak sesuai untuk negara ini,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia mempunyai cara tersendiri memerangi isu dadah termasuk melalui penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan pencegahan dan penguatkuasaan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk pemulihan dan pendidikan.

“Kedua-dua agensi ini menjalankan peranannya dan dibantu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan,” katanya.

Nur Jazlan ketika di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan tidak bercadang membenarkan pegawai penguatkuasa undang-undang menembak pengedar dadah seperti yang berlaku di Filipina, dalam usaha menangani masalah narkotik dan penagihan dadah di negara ini.

Beliau berkata, sebarang pindaan undang-undang bagi membenarkan tindakan itu diambil di negara ini adalah bertentangan dengan norma perundangan dan polisi antarabangsa.

Terdahulu dalam sesi perbahasan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mencadangkan supaya kerajaan mengikut jejak kerajaan Filipina yang mengambil tindakan amat tegas dengan menembak mati pengedar dadah yang enggan menyerah diri dalam menghentikan perbuatan pengedaran dadah.

Leave a Reply

Top