Anda di sini!
Utama > Terkini > Malaysia Mampu Setanding Negara Maju Dalam Industri Penulisan -TPM

Malaysia Mampu Setanding Negara Maju Dalam Industri Penulisan -TPM

mh online

image

Malaysia mampu setanding negara-negara maju dalam industri penulisan jika lebih banyak buku intelektual diterbitkan dan lebih ramai penulis tempatan bertaraf dunia dikenali dan diiktiraf.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah penting untuk terus kekal relevan dalam industri ini kerana negara masih kekurangan penerbitan buku berbanding dengan negara lain.

“Mengikut standard UNESCO, penerbitan buku mestilah pada kadar 1 peratus untuk setiap sejuta penduduk iaitu 1,000 buku (diterbitkan). Tetapi di Malaysia, cuma 15,000 buku diterbitkan untuk 27 juta penduduk Malaysia.

“Jadi penerbitan buku di negara ini sangat kurang. Kebolehmampuan untuk membeli buku kini bukan ditahap yang sepatutnya. Harus tanya pada para sarjana, adakah buku yang diterbitkan mempunyai kualiti tinggi, mengikut cita rasa pembaca dan boleh diterjemah di peringkat antarabangsa?

“Janganlah jadi juara kampung… jangan jadi jumud… duduk dalam kepompong lama. Nilai kebolehpasaran perlu ada dalam setiap buku yang diterbitkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Buku Negara yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hassan Hamzah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kebolehpasaran sesuatu karya atau buku memerlukan kualiti isi kandungan yang menerapkan nilai intelektual, mendapat sokongan dan dokongan masyarakat selain suntikan kewangan daripada kerajaan.

Menurutnya, tiga perkara ini penting untuk mewujudkan kesinambungan antara penulis, penerbit dan kerajaan selain merungkai situasi permintaan dan penawaran yang kerapkali berubah dan tidak stabil ini.

Selain itu, katanya, penggiat industri buku juga perlu menggunakan kecanggihan teknologi seperti e-Book untuk terus kekal relevan dalam pasaran selain memasarkan bahan bacaan sedia ada seperti jurnal dan buku-buku ilmiah.

“Kita perlu cita-cita besar dan kekal relevan kerana pada 2027 genap 100 tahun kita merdeka. Kita mesti sediakan tokoh-tokoh penulis dan penerbit di peringkat antarabangsa. Kita harus sediakan prasarana supaya kita tidak ketinggalan,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Ahmad Zahid menggesa para sarjana menghasilkan lebih banyak buku intelektual yang mempunyai kajian impirikal yang sahih untuk memastikan ia berjaya dipasarkan dan mendapat sambutan pembaca tempatan dan antarabangsa.

Pada akhir majlis, Timbalan Perdana Menteri kemudian menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh penulisan dan penerbit terkenal mengikut kategori antaranya Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas (Tokoh Buku Negara), Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim (Tokoh Sejarawan), Prof Emeritus Dr Hashim Musa (Tokoh Linguistik) dan Prof Madya Dr Lim Swee Tin (Anugerah Perdana Aminuddin Baki).

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top