Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Malaysia Kini Telah Jadi Negara Destinasi Pemerdagangan Manusia – TPM

Malaysia Kini Telah Jadi Negara Destinasi Pemerdagangan Manusia – TPM

mh online

Malaysia kini menjadi negara destinasi bagi sindiket pemerdagangan manusia menempatkan pendatang, ekoran kemajuan dan peluang pekerjaan yang ada, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan sedang mengambil beberapa langkah segera untuk menangani perkara itu kerana ia boleh membawa kepada masalah jenayah domestik oleh rakyat asing.

Katanya kerajaan sangat komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan akan memberi saranan kepada negara-negara terlibat bagi mengatasi masalah berkenaan sempena persidangan Bali Process yang berlangsung di sini.

Beliau berkata jika dahulunya Malaysia adalah sebuah negara transit tetapi kini pendatang asing tanpa izin memasuki negara dan kemudian membuang segala dokumen pengenalan diri bagi menghilangkan identiti warganegara mereka.

“Dulunya Malaysia adalah negara transit untuk rakyat asing ke Australia dan negara-negara lain tetapi sekarang ini mereka menjadikan Malaysia sebagai negara destinasi terakhir ekoran peluang pekerjaan yang ada,” katanya kepada wartawan Malaysia hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berada di Bali bagi menghadiri persidangan Bali Process iaitu persidangan mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini.

Katanya antara masalah yang dihadapi ialah negara asal golongan imigran secara haram itu tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat lagi kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata masalah seumpama itu akan dibincangkan dalam persidangan berkenaan oleh negara-negara ASEAN dan 44 buah negara lain yang terlibat dalam Bali Process.

“Kita melihat ada semacam ketidakserataan dari segi kebertanggungjawaban. Dulu negara sumber bagaikan melepas tangan apabila ada warga mereka menjadikan beberapa buah negara lain yang dianggap sebagai syurga terakhir menempatkan diri dan tinggal di negara berkenaan sama ada untuk mencari rezeki atau alasan ekonomi dan politik,” katanya.

Beliau berkata disebabkan itu negara sumber harus dilibatkan untuk mengatasi masalah yang timbul agar mereka boleh mencari punca masalah penyeludupan dan pemerdagangan manusia itu.

-BERNAMA

Leave a Reply

Top