Anda di sini!
Utama > Terkini > Malaysia Guna Pendekatan Diplomatik Tangani Pertikaian Laut China Selatan – TPM

Malaysia Guna Pendekatan Diplomatik Tangani Pertikaian Laut China Selatan – TPM

mh online

Malaysia akan menggunakan pendekatan diplomatik dalam mengendalikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pendekatan ini, katanya dihargai oleh Presiden China Xi Jinping.

“Pendekatan kami ialah menerusi penyelesaian diplomatik seperti disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Presiden China menghargai usaha dilakukan kerajaan Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN+ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu.

Timbalan Perdana Menteri diminta menjelaskan lebih lanjut kenyataannya baru-baru ini yang membidas “kuasa besar serantau” kerana menceroboh kawasan maritim Malaysia dengan membina landasan terbang, jeti dan kemudahan lain di perairan Sabah.

Beijing dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah menduduki beberapa pulau kecil yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan dan dilaporkan telah membina landasan terbang dan kemudahan lain.

Berhubung ancaman dibuat kumpulan militan IS, khususnya berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang dihoskan Malaysia, Ahmad Zahid berkata pasukan keselamatan negara telah mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga (terhadap ancaman IS) dan memantau setiap pergerakan mereka. Pasukan antipengganas kami membuat pemeriksaan dan rondaan dan memantau komunikasi,” katanya.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan yang lain mengambil iktibar kejadian serangan pengganas di Paris dan telah mengetatkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin-pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Ahmad Zahid juga berharap orang ramai di Kuala Lumpur dapat bertoleransi dengan kesesakan di ibu kota akibat penutupan beberapa jalan raya bersempena sidang kemuncak berkenaan.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top