Anda di sini!
Utama > Terkini > Malaysia Dapatkan Penjelasan china -Amerika Berkenaan Kehadiran Kapal Perang di Kepulauan Spratly

Malaysia Dapatkan Penjelasan china -Amerika Berkenaan Kehadiran Kapal Perang di Kepulauan Spratly

mh online

image

Malaysia akan mendapatkan penjelasan dari China dan Amerika Syarikat mengenai kehadiran kapal perang mereka di Kepulauan Spratly semasa Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Campur ke-3, yang bermula di Subang esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau percaya perkembangan terkini mengenai isu itu akan diberi taklimat oleh rakan sejawatannya, Jeneral Chang Wanquan dari China dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Dr Ashton Carter, semasa mesyuarat berkenaan.

“Saya percaya akan ada perbincangan dan rundingan antara China dan Amerika Syarikat. Saya berharap diberi taklimat mengenai perkembangan terkini jika ia benar-benar melibatkan pergerakan aset antara kedua-dua pihak.

“Sukar bagi saya menyatakan sesuatu sekarang, saya tidak pasti mengenai perkembangan terkini tentang isu tersebut,” katanya pada sidang media selepas tinjauan akhir persiapan bagi Pemukiman ADMM dan ADMM-Campur, dari 3 hingga 5 Nov, di Subang hari ini.

Kontroversi itu dilaporkan tertumpu kepada satu jalur wilayah di Laut China Selatan yang mengandungi Kepulauan Spratly, dan pegawai China mengutuk kehadiran kapal perang Amerika Syarikat yang belayar dekat kepulauan itu, baru-baru ini.

Kepada satu soalan berkaitan cabaran Amerika Syarikat itu ke atas China berhubung kepulauan yang dipertikaikan tersebut, Hishammuddin berkata beliau hanya menyambut baik sebarang tindakan yang tidak menjejaskan kestabilan rantau berkenaan.

China, Taiwan dan negara-negara ASEAN – Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei, terlibat dalam tuntutan bertindih mengenai pemilikan dan penguasaan kepulauan itu di Laut China Selatan, yang kaya dengan sumber, dalam konflik yang berlarutan selama beberapa dekad.

Hishammuddin berkata 10 negara anggota ASEAN harus bersatu sebagai satu blok.

“Ini sesuatu yang saya akan menjalankan tanggungjawab selagi saya mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN,” katanya.

Hishammuddin berkata negara-negara ASEAN sedang memantau dengan teliti pergolakan di dunia terutama di Syria, Ukraine, Iraq, Timur Tengah dan lain-lain negara.

ADMM ialah mekanisme tertinggi perbincangan dan kerjasama pertahanan dalam ASEAN mengenai perkara-perkara berkaitan pertahanan.

Ia bertujuan memupuk kepercayaan bersama dan keyakinan melalui peningkatan pemahaman mengenai cabaran pertahanan dan keselamatan serta meningkatkan ketelusan dan keterbukaan.

ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala lapan rakan dialog dalam ASEAN Campur ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Mesyuarat ADMM-Campur berkisar kepada ‘ASEAN – Mengekalkan Keselamatan dan Kestabilan Serantau untuk dan oleh Rakyat’.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, di luar sidang itu, Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas mengenai rondaan Selat Melaka dengan Indonesia, Singapura, dan Thailand bagi membincangkan kebebasan pelayaran di selat itu.

“Kita telahpun membuat pendirian tegas terhadap isu keganasan dan IS (Negara Islam) pada mesyuarat terakhir ADMM di Langkawi dan kerana itu kita sekarang melihat kepada isu membabitkan Selat Melaka,” kata beliau.

Antara lain isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat tiga hari itu ialah bencana alam, bantuan kemanusiaan dan isu perkongsian risikan dalam kalangan negara-negara anggota dan kestabilan di rantau ini, ujar Hishammuddin.

Acara selama tiga hari itu merupakan yang terakhir dikelolakan oleh Malaysia selaku negara pengerusi ADMM sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Laos.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top