Kejayaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara telah terbukti, sekali gus menyangkal tohmahan kononnya Malaysia adalah sebuah negara yang gagal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelan ekonomi kerajaan yang berpandangan jauh serta langkah proaktif yang diambil dalam melaksana keputusan penting telah membina daya tahan ekonomi negara untuk menghadapi cabaran luar.

“Ini telah terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama 2017. Prestasi ini disokong terutamanya oleh perbelanjaan sektor awam,”kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin tahu tahap kebarangkalian Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 setelah mengambil kira unjuran Bank Negara Malaysia bahawa ekonomi negara akan kembali kukuh pada tahun ini dan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa ekonomi negara akan kembali mantap.

Najib berkata baru-baru ini, IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2017 daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus manakala Bank Dunia meramalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.9 peratus, berbanding unjuran asal 4.3 peratus.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan semua sektor ekonomi sentiasa berdaya tahan dan berdaya saing pada peringkat domestik dan global bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh.

“Ini termasuk mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan, mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan minyak dan gas, menyediakan persekitaran kondusif bagi menarik pelaburan asing dan domestik, meningkatkan perdagangan dan produktiviti serta memperkukuh keupayaan inovasi dan teknologi negara,” kata perdana menteri.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PKR-Pematang Pauh) berhubung dakwaan ekonomi negara tidak memberangsangkan dan hutang negara meningkat, Najib berkata hutang negara kini dalam lingkungan terkawal.

Katanya “kerajaan akan melakukan langkah-langkah terbaik untuk kepentingan rakyat selain memastikan mereka menerima faedah daripada inisiatif yang dilaksanakan .

“Dalam beberapa bulan akan datang, lebih banyak usaha akan dilakukan.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita akan melakukan yang terbaik untuk rakyat, tetapi kita tidak boleh menjanjikan benda-benda yang tidak boleh masuk akal, lazimnya yang dijanjikan oleh pembangkang sebagai gula-gula untuk sukakan hati rakyat tetapi kita tahu ia tidak mampu dilakukan oleh mana-mana kerajaan, “katanya.

Menyentuh pertanyaaan Dr Wan Azizah mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib berkata perkara itu hanya melibatkan soal teknikal dan tidak akan menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi negara.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *