Anda di sini!
Utama > Terkini > Malaysia Boleh Belajar Dari Negara Konflik Tentang Survival Mereka

Malaysia Boleh Belajar Dari Negara Konflik Tentang Survival Mereka

mh online

image

Malaysia boleh belajar daripada pengalaman negara lain yang pernah berdepan dengan konflik tentang survival mereka dan bagaimana mereka berjaya pulih semula, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kunci kepada kejayaan mereka adalah keamanan, kestabilan, tadbir urus baik dan pembinaan keinstitusian.

“Bosnia, Kemboja, Rwanda … ini ialah negara-negara (yang pernah) mengalami konflik dalaman yang serius, perang saudara, perang saudara serius, tetapi mampu kembali pulih.

“Saya fikir ini menunjukkan betapa pentingnya keamanan, kestabilan dan juga tadbir urus dan pembinaan keinstitusian. Kami perlu memastikan tadbir urus dan institusi-institusi yang mantap yang meliputi setiap individu.

“Saya fikir ia merupakan pengajaran yang boleh dipelajari daripada pengalaman negara-negara terbabit, dan musibah konflik,” katanya dalam sidang media bersempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-11 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Najib berkata demikian semasa diminta mengulas tentang isu-isu yang beliau dan pemimpin negara lain bincangkan dalam WIEF ke-11.

Beliau berkata pengalaman negara-negara dilanda konflik merupakan satu daripada topik dibincangkan, selain isu WIEF sendiri dan isu semasa yang lain.

“Saya tertarik dengan kenyataan Presiden Bosnia-Herzegovina semasa beliau memperkatakan tentang kehilangan golongan cerdik pandai dan pakar pada tahap yang serius. Lebih 70 peratus, 80 peratus lulusan PhD berada di Amerika, misalnya.

“Mereka tidak berada di Bosnia. Mereka diperlukan di Bosnia, tetapi mereka tidak berada di Bosnia dan terbang ke negara lain. Jadi, anda dapat lihat kesan serius daripada konflik di Syria dan Iraq, di mana mereka, orang-orang yang mempunyai kelayakan?

“Jadi, inilah akibat konflik, sebaik sahaja ia bermula, akibatnya akan berterusan untuk jangka masa yang lama,” katanya.

WIEF Ke-11 selama tiga hari menyaksikan penyertaan 3,069 perwakilan terdiri daripada kalangan pemimpin global, menteri, penceramah, pempamer dan artis daripada 98 negara merangkumi lima benua.

Forum itu bertemakan “Membina Daya Tahan Bagi Pertumbuhan Saksama”.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top