Anda di sini!
Utama > Terkini > MALAYSIA BANTU AUSTRALIA TANGANI KEGANASAN – TPM

MALAYSIA BANTU AUSTRALIA TANGANI KEGANASAN – TPM

mh online

Malaysia, yang berpengalaman menangani keganasan ancaman komunis dan golongan ekstremis agama, akan menghantar pakar berkaitan ke Australia Februari depan, bagi membantu negara itu menangani masalah keganasan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pakar berkenaan adalah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pensyarah universiti, katanya.

Beliau berkata Australia sebagai bukan negara Islam berhadapan dengan beberapa masalah keganasan seperti yang dicetuskan penduduk yang datang dari Timur Tengah (Asia Barat) dan imigran lain.

“Atas pengalaman menghadapi keganasan dari ancaman komunis dan golongan ekstremis agama…kita menawarkan untuk menghantar pakar ke negara itu bagi mengadakan training-of-trainers (ToT).

“Melalui ToT juga Malaysia akan memberikan pengalaman dari acuan pemulihan yang dilakukan di sini untuk dilaksanakan di Australia,” katanya.

Ahmad Zahid bercakap dalam sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Perundangan yang juga menteri penasihat kepada perdana menteri Australia Michael Keenan di pejabatnya di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata Malaysia-Australia bertekad memperkukuh lagi kerjasama dan jawatankuasa dalam bidang keselamatan.

Ini akan dilakukan menerusi platform Mesyuarat Kerjasama Dalam Menangani Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat Kerjasama Dalam Menangani Ancaman Keganasan.

Ini bagi membolehkan maklumat dari kedua-dua negara dikongsi untuk mengatasi masalah itu, katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top